Malaysia berpotensi jadi kuasa besar serantau dalam bidang AI, semikonduktor menjelang 2030 - PublicInvest

LocalTechnology
1 Aug 2025 • 11:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malaysia berpotensi jadi kuasa besar serantau dalam bidang AI, semikonduktor menjelang 2030 - PublicInvest

image is not available

01/08/2025 - 11:00

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Malaysia berpotensi menjadi kuasa besar serantau dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor menjelang 2030 terutama selepas menerima suntikan semangat baharu apabila Amerika Syarikat (AS) menurunkan kadar tarif daripada 25% kepada 19%, kata Public Investment Bank (PublicInvest).

Katanya, pengumuman terbaharu AS itu merupakan langkah yang dijangka dapat mengurangkan tekanan terhadap syarikat teknologi tempatan yang mempunyai pendedahan besar di pasaran AS.

Firma penyelidikan itu berkata, syarikat seperti SKP Resources, VS Industry, Inari Amertron, dan Greatech dilihat sebagai antara penerima manfaat utama dengan mereka diramal mencatatkan peningkatan semula dalam perbelanjaan modal dan pengambilan pekerja.

"Lebih penting lagi, pengurangan tarif ini hadir seiring dengan pelancaran Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) kerajaan Malaysia, strategi berani dan berpandangan jauh untuk menjadikan negara ini sebuah ekonomi mampan yang dipacu oleh AI menjelang 2030," katanya dalam satu nota kajian.

PublicInvest berkata, rancangan itu berteraskan kepada Strategi Semikonduktor Negara (NSS) yang menyasarkan RM1 trilion eksport produk elektrik dan elektronik (E&E) serta RM500 bilion pelaburan daripada sumber tempatan dan asing.

Katanya, kerajaan memperuntukkan RM2 bilion bagi mempercepat pembangunan reka bentuk cip, di mana separuh daripadanya akan disalurkan kepada perjanjian berprofil tinggi dengan ARM, manakala separuh lagi akan diperuntukkan sebagai geran padanan untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan.

Firma penyelidikan itu berkata, usaha pembangunan bakat juga sedang giat dijalankan dengan matlamat melatih 60,000 jurutera berkemahiran tinggi, yang akan menyumbang terus kepada ekosistem semikonduktor Malaysia yang berkembang pesat.

"Apa yang lebih penting, kadar tarif baharu AS ke atas Malaysia sebanyak 19% kini lebih rendah daripada kadar Taiwan iaitu 20%, sekali gus memberikan Malaysia kelebihan daya saing dalam arena pembuatan teknologi serantau yang sangat kompetitif.

"Pelabur dan pembuat dasar berharap peralihan Malaysia daripada slogan “Dibuat di Malaysia” kepada “Dihasilkan oleh Malaysia” akan menjadi permulaan kepada era perindustrian yang baharu.

"Ketika syarikat global semakin giat mempelbagaikan rantaian bekalan mereka daripada kebergantungan kepada China, Malaysia kini sedang meletakkan dirinya bukan sekadar sebagai hab pembuatan, tetapi sebagai enjin inovasi untuk masa depan digital," katanya. - DagangNews.com

standard