RMK13: Malaysia sasar eksport E&E sebanyak RM1 trilion menjelang 2030

LocalTechnology
31 Jul 2025 • 4:08 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

RMK13: Malaysia sasar eksport E&E sebanyak RM1 trilion menjelang 2030

image is not available

31/07/2025 - 16:08

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Julai - Malaysia berhasrat menggandakan eksport produk elektrik dan elektronik (E&E) kepada RM1 trilion menjelang 2030 melalui pelbagai usaha untuk meningkatkan pengeluaran produk bernilai tinggi dan berteknologi tinggi, menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada 2024, Malaysia mencatatkan eksport E&E sebanyak RM600 bilion, menjadikan negara itu sebagai pengeksport semikonduktor keenam terbesar di dunia.

"Momentum ini akan dioptimumkan melalui pelaksanaan Projek Perdana Industri Semikonduktor Bernilai Tinggi-Berimpak Tinggi, dengan sasaran eksport produk E&E mencecah hampir RM1 trilion menjelang 2030," katanya semasa membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.

Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) Malaysia memberi tumpuan kepada pengukuhan bidang utama seperti reka bentuk cip, pembungkusan termaju, dan peralatan pembuatan.

Syarikat berkaitan kerajaan akan membantu membangunkan syarikat tempatan yang berpotensi melalui pelaburan.

Strategi itu menyasarkan pembangunan 10 syarikat semikonduktor Malaysia dengan pendapatan tahunan melebihi AS$1 bilion (RM4.2 bilion) serta 100 lagi syarikat dengan pendapatan hampir RM1 bilion.

Malaysia juga akan mengukuhkan hubungan antara syarikat tempatan dan peneraju teknologi global seperti Amazon, Google dan Infineon bagi mempercepatkan peralihan ke arah pengeluaran produk semikonduktor yang lebih maju dan bernilai tinggi.

Pada Sidang Kemuncak Semikonduktor ASEAN 2025 minggu lalu, Anwar mengumumkan Malaysia telah memperoleh pelaburan semikonduktor melebihi RM63 bilion di bawah Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) setakat Mac 2025 — kurang daripada setahun sejak pelancarannya pada Mei 2024.

Perdana Menteri berkata, kerjasama strategik dengan ARM Holdings bernilai AS$250 juta awal tahun ini akan meningkatkan kedudukan Malaysia daripada sekadar hab pengeluaran kepada peneraju dalam aktiviti semikonduktor bernilai tinggi dengan memperkukuh keupayaan harta intelek negara.

“Sinergi antara syarikat tempatan dan firma semikonduktor global seperti Amazon Web Services, Google, dan Infineon Technologies di sepanjang rantaian nilai juga akan terus diperkukuh bagi mempercepatkan peralihan industri ke arah pengeluaran produk semikonduktor yang lebih kompleks dan bernilai tinggi,” katanya. - DagangNews.com

standard