amree22/10/2026 - 15:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 22 Okt – Malaysia berpotensi menjana sumber hasil baharu dengan membangunkan industri bahan api marin dan muncul sebagai hab serantau bagi aktiviti pencampuran, penyimpanan serta pembekalan bahan api kepada kapal, sekali gus meraih nilai ekonomi.
Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd, Datuk Seri R Jeyenderan berkata, Malaysia perlu memanfaatkan kelebihan sumber petroleum, industri minyak sawit, kemudahan penyimpanan dan pelabuhan bagi memperluas penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan bahan api marin.
Pakar maritim yang berpengalaman luas lebih 30 tahun dalam industri itu berkata, antara peluang boleh diteroka ialah pengeluaran 'very low sulphur fuel oil' (VLSFO), iaitu bahan api marin yang kini sudah digunakan banyak kapal untuk memenuhi keperluan had kandungan sulfur antarabangsa.
Di bawah peraturan Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) yang berkuat kuasa sejak Januari 2020, kandungan sulfur dalam bahan api minyak yang digunakan kapal secara amnya dihadkan kepada 0.50%, sekali gus mewujudkan permintaan terhadap bahan api yang memenuhi spesifikasi berkenaan.
"Malaysia boleh meneroka penghasilan VLSFO melalui pencampuran komponen petroleum yang sesuai dalam nisbah terkawal, sebelum menjalankan ujian kualiti bagi memastikan produk akhir mematuhi had sulfur dan spesifikasi bahan api yang ditetapkan," tambah Jeyenderan dalam kenyataan.
Bahan api yang siap diproses itu kemudiannya boleh disimpan dalam tangki khusus sebelum dibekalkan kepada kapal melalui dermaga pelabuhan atau kapal pembekal bahan api, sekali gus membuka peluang besar perniagaan dalam aktiviti penyimpanan dan pembekalan.

Ujar beliau lagi, pendekatan bersepadu itu membolehkan syarikat tempatan mengambil bahagian dalam lebih banyak peringkat rantaian nilai petroleum dan meraih sumber hasil berulang, berbanding hanya mengendalikan pengangkutan atau pemindahan kargo minyak dengan margin yang kecil.
Tegasnya, Malaysia turut boleh memperoleh nilai lebih tinggi daripada kargo minyak dengan aktif menjalankan banyak aktiviti seumpama itu di dalam negara, termasuk kerja-kerja berkaitan seperti mencampur, menyimpan dan menjual bahan api kepada kapal yang berlabuh.
Pembangunan hab bahan api marin juga berpotensi mewujudkan peluang dalam perdagangan petroleum, logistik, pengangkutan dan aktiviti pembekalan bahan api kepada kapal atau *bunkering*, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan pelabuhan dan perniagaan sokongan tempatan.
"Bagaimanapun, pada masa sama saya turut menegaskan bahawa pembangunan industri itu memerlukan satu bentuk garis panduan kawal selia dan operasi yang jelas, khususnya bagi pengendalian, penyimpanan, pemindahan serta pencampuran produk petroleum,"kata beliau.
Dokumentasi yang lengkap dan prosedur yang telus juga kata Jeyenderan, penting untuk memastikan pematuhan spesifikasi produk, melindungi hasil kerajaan serta memberikan kepastian kepada pemain industri yang ingin melabur dalam aktiviti bernilai tambah lebih tinggi.
Menurut beliau, pembangunan keupayaan bahan api marin boleh membantu Malaysia memperkukuh kedudukan dalam rantaian bekalan tenaga dan maritim serantau, selain membuka ruang kepada syarikat tempatan untuk meraih lebih banyak nilai daripada sumber petroleum negara.
Cadangan itu susulan syor Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, menggesa kerajaan memperluas sumber hasil negara melalui penerokaan industri strategik baharu yang mampu menjana pulangan mampan, selain mengurangkan kebergantungan kepada PETRONAS. - DagangNews.com






