
KUALA LUMPUR – Kerjasama strategik menerusi hubungan pertahanan antara Malaysia dan Perancis sempena lawatan rasmi Presiden Emmanuel Macron baru-baru ini, membolehkan negara menjayakan keupayaan berdaulat atau ‘sovereign capability’ menerusi perjanjian ditangani bersama.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebagai sebuah negara berdaulat, Malaysia tidak mahu sentiasa bergantung kepada negara luar dari segi pembekalan peralatan pertahanan untuk negara.
“Yang pertama, perjanjian kolaborasi dalam industri pertahanan (adalah) berkait dengan soal untuk menjayakan sovereign capability (keupayaan berdaulat).
“Justeru kita mesti ada kedaulatan atau keupayaan ini dan Perancis bersedia untuk membantu kita menjayakannya melalui perjanjian pertama,” katanya pada sidang akhbar Majlis Peluncuran Sambutan Hari Integriti Kementerian Pertahanan 2026 di sini hari ini.
Beliau berkata, antara perjanjian penting ditandatangani ialah kerjasama dalam membangunkan industri pertahanan tempatan yang mana Perancis bersedia melihat Malaysia mempunyai keupayaan sendiri dalam soal mengeluarkan produk serta aset pertahanan sama ada komponen dan sebagainya.
“Selain itu membangunkan kepakaran serta mengupayakan pusat-pusat aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO). Jadi ini satu perjanjian sangat dialu-alukan oleh negara kerana kita belum ada lagi perjanjian begitu jelas dan fokus dengan mana-mana negara.
“Tetapi dengan Perancis, kita ada. Apabila kita menyatakan hasrat dan niat untuk melakukan perolehan sama ada soal Howitzer 105 atau helikopter, kita boleh terjemahkan perolehan itu dalam konteks bagaimana ia beri manfaat dan membangunkan syarikat tempatan dalam perbekalan atau menyediakan komponen.
“Perancis mengenal pasti syarikat tempatan yang boleh menjadi pembekal untuk melakukan perkara itu,” katanya.
Katanya, sehubungan itu perjanjian antara Malaysia dan Perancis sangat baik sekali gus boleh menjadi contoh kepada negara-negara lain dalam melakukan perolehan.
Beliau berkata, berhubung Surat Niat (LoI) Pusat Serantau Menangani Ancaman Hibrid (RC-SHIELD), ia turut memberi manfaat kepada negara selain Perancis bersedia menghantar pakar untuk membangunkan keupayaan Malaysia dalam menangani ancaman hibrid.
“Kita berhadapan dengan ancaman secara hibrid dan kita perlu membina keupayaan untuk memastikan dapat berdepan dengannya termasuklah dron, penguasaan minda, penyalahgunaan data, penguasaan memanipulasi maklumat serta minda dan sebagainya.
“Ini dipanggil cognitive warfare (peperangan kognitif). Anda baca tiap-tiap hari pun terpengaruh. Kalau maklumat tak betul serta terpengaruh, ia (akan) jadi ancaman,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Malaysia bina keupayaan pertahanan hasil kerjasama Perancis appeared first on Kosmo Online.






