
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Perancis mengukuhkan hubungan strategik pertahanan melalui beberapa perjanjian kerjasama utama yang dimeterai, susulan lawatan rasmi Presiden Perancis, Emmanuel Macron baru-baru ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerjasama kali ini tidak lagi tertumpu kepada urusan jual beli aset ketenteraan semata-mata, sebaliknya menekankan pemindahan teknologi dan pembangunan ekosistem industri pertahanan tempatan.
Beliau berkata, Malaysia telah mengeluarkan surat niat (LOI) bagi mempertimbangkan perolehan aset strategik bernilai kira-kira RM1.9 bilion.
Katanya, perolehan itu merangkumi pertimbangan pembelian empat buah helikopter tempur mencari dan menyelamat (CSAR) bernilai sekitar RM1.3 bilion dan 36 buah meriam howitzer 105 milimeter (mm) dengan anggaran kos melebihi RM600 juta.
“Perjanjian yang sangat penting telah kita tandatangani ialah soal kerjasama dalam membangunkan industri pertahanan tempatan.
“Secara jelas, Perancis bersedia melihat Malaysia mempunyai keupayaan sendiri untuk mengeluarkan produk dan aset pertahanan, bermula dengan komponen-komponen, membangunkan kepakaran serta mengupayakan pusat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO),” katanya dalam sidang akhbar selepas program Sambutan Hari Integriti Kementerian Pertahanan di sini hari ini.
Mohamed Khaled berkata, pendekatan baharu dalam perolehan itu adalah langkah kritikal bagi menjayakan matlamat sovereign capability (keupayaan berdaulat), sekali gus mengurangkan kebergantungan berterusan negara terhadap bekalan peralatan ketenteraan dari luar.
“Apabila kita menyatakan hasrat melakukan perolehan seperti howitzer 105mm atau helikopter, kita menterjemahkannya dalam konteks bagaimana ia dapat memberi manfaat kepada syarikat tempatan. Perancis akan mengenal pasti syarikat tempatan yang boleh menjadi pembekal dalam penghasilan komponen perolehan tersebut,” katanya.
Beliau berkata, perjanjian yang disifatkan paling jelas dan fokus pernah dimeterai Malaysia bersama negara luar itu diharap dapat menjadi penanda aras serta contoh kepada rundingan perolehan pertahanan dengan negara-negara lain pada masa depan.
Mohamed Khaled memaklumkan, Perancis juga bersedia membantu Malaysia membangunkan keupayaan pertahanan sendiri bagi membolehkan negara ini menentukan hala tuju, menjaga keselamatan serta mempertahankan kepentingannya tanpa bergantung kepada kuasa asing.
Beliau berkata, kesediaan itu dizahirkan menerusi Pelan Hala Tuju Keupayaan Pertahanan Dua Hala dan Perkongsian Industri Pertahanan yang dimeterai antara Malaysia dan Perancis sempena lawatan Macron.
“Sebagai sebuah negara yang berdaulat, kita tidak mahu sentiasa bergantung kepada negara luar untuk bekalan peralatan pertahanan kita. Kita mesti ada kedaulatan ataupun keupayaan yang dipanggil sebagai sovereign capability.
“Jadi, Perancis bersedia membantu kita untuk menjayakan sovereign capability melalui perjanjian berkenaan,” katanya.-UTUSAN
The post Malaysia pertimbang beli RM1.9 bilion aset ketenteraan dari Perancis appeared first on Utusan Malaysia.






