KUALA LUMPUR – Dakwaan pembangkang bahawa Malaysia tunduk kepada tekanan Amerika Syarikat (AS) disifatkan tidak berasas dan hanya permainan persepsi semata-mata.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Amidi Abdul Manan berkata, naratif tersebut sengaja dimainkan bagi menggambarkan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya akur dengan arahan AS khususnya berkaitan Agreement on Reciprocal Tariffs (ART).
Menurutnya, tuduhan itu turut mempertikaikan kompetensi penjawat awam serta memberi gambaran seolah-olah Malaysia sanggup menggadaikan kedaulatan negara apabila berdepan tekanan daripada kuasa besar.
“Dakwaan seperti ini tidak tepat kerana pendirian kerajaan jelas menunjukkan Malaysia kekal mempertahankan prinsip kedaulatan dan kemanusiaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Amidi yang juga Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama parti itu berkata, kenyataan keras Anwar yang mengecam tindakan AS dan rejim Zionis menjadi bukti bahawa Kerajaan Madani tetap teguh mempertahankan prinsip kemanusiaan.
Beliau berkata, pendirian tersebut menunjukkan Malaysia berdiri sebagai sebuah negara bangsa yang bermaruah serta tidak tunduk kepada tekanan mana-mana pihak.
Menurutnya, dalam situasi geopolitik semasa, Malaysia turut menyatakan sokongan kepada Iran berasaskan nilai kemanusiaan selain hubungan sebagai negara Islam.
“Walaupun ada negara jiran yang mengambil sikap berdiam diri atau berbelah bahagi dalam menyatakan pendirian, Malaysia tetap menyuarakan pandangan secara jelas dan terbuka,” ujarnya.
Tambah beliau, Anwar juga merupakan antara pemimpin di Asia Tenggara yang terawal menyatakan pendirian negara serta membawa usul ke Parlimen bagi mengutuk serangan AS terhadap Iran.
Katanya, dalam ucapan di Parlimen, Perdana Menteri menegaskan bahawa Malaysia sebagai negara berdaulat mengecam sekeras-kerasnya sebarang tindakan yang membelakangi undang-undang antarabangsa.
“Pendirian ini sekali gus menepis permainan persepsi pembangkang yang dilihat ketandusan idea untuk mengkritik kepimpinan negara ketika ini,” katanya.

