Malaysia, China perkukuh kerjasama strategik dalam bidang pengangkutan

23 Sep 2026 • 11:55 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Malaysia, China perkukuh kerjasama strategik dalam bidang pengangkutan

PUTRAJAYA – Malaysia dan China memperkukuh kerjasama strategik dalam sektor pengangkutan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Pengangkutan, susulan mesyuarat dua hala antara Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Pengangkutan China Liu Wei dalam rangka lawatan rasmi Loke ke Beijing.

Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam kenyataan memaklumkan, dalam mesyuarat itu, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai usaha memperluas kerjasama strategik dalam sektor pengangkutan serta meningkatkan kesalinghubungan, kecekapan dan kemampanan sistem pengangkutan kedua-dua negara.

“MoU itu mewujudkan kerangka rasmi bagi kerjasama strategik dua hala merangkumi pengangkutan darat, rel, maritim dan udara serta sektor logistik.

“Antara bidang tumpuan ialah pertukaran kepakaran teknikal, pembangunan kapasiti, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), pengangkutan hijau dan pembangunan infrastruktur rendah karbon,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memberitahu, kerjasama berkenaan dijangka meningkatkan keupayaan Malaysia dalam penggubalan dasar, memperkukuh kecekapan rantaian bekalan, menarik pelaburan teknologi China, sekali gus memantapkan peranan Malaysia sebagai hab pengangkutan serantau ASEAN.

Anthony turut menyaksikan pemeteraian MoU Kerjasama Keselamatan Penerbangan Awam antara Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC), yang ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Kapten Norazman Mahmud dan Timbalan Pentadbir CAAC Hu Zhenjiang.

“Kerjasama CAAM–CAAC meliputi kelulusan kelayakan, pensijilan dan pemantauan organisasi penerbangan, pelesenan serta pengawasan operasi penerbangan.

“MoU ini akan membantu memperkukuh standard keselamatan penerbangan awam Malaysia, mengurangkan pertindihan proses teknikal serta memudahkan pergerakan produk dan perkhidmatan aeronautik antara kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.

Menurut MOT, Anthony turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Pentadbir National Railway Administration of China Song Xiude, yang memberi ruang kepada kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai pembangunan dan pengawalseliaan sektor rel, keselamatan operasi, pembangunan kapasiti serta penggunaan teknologi dalam sistem rel.

“Lawatan ini mencerminkan hubungan erat dan matang antara Malaysia dan China serta komitmen kedua-dua negara untuk menterjemahkan hubungan tersebut kepada kerjasama pengangkutan yang praktikal, berimpak tinggi dan saling menguntungkan,” katanya. – BERNAMA

The post Malaysia, China perkukuh kerjasama strategik dalam bidang pengangkutan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved