Malaysia Cipta Kejuaraan Berganda, Aaron-Wooi Yik Dan Pearly-Thinaah Juara Terbuka Thailand

19 May 2025 • 10:17 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, sekali lagi menampilkan aksi cemerlang di Terbuka Thailand setelah berjaya memperoleh kejuaraaan berganda pada musim ini di Stadium Nimibutr, Bangkok, semalam.

Aaron-Wooi Yik Dan Pearly-Thinaah Juara Terbuka Thailand

image is not available

Foto: Utusan Malaysia

Memetik laporan Free Malaysia Today, pasangan juara Asia itu berjaya menumbangkan gandingan Denmark, William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer, setelah kembali bangkit daripada tewas pada set pertama dengan 20-22, 21-17, 21-12 dalam perlawanan selama sejam di Stadium Nimibutr.

Dalam pada itu, pasangan ini merupakan beregu kedua Malaysia setelah Chan Peng Soon-Lim Khim Wah berjaya melakar sejarah menjuarai Terbuka Thailand dalam acara tersebut pada tahun 2009.

Aaron-Wooi Yik menerima hadiah wang tunai berjumlah USD37,525 (RM161,130), manakala pasangan Denmark selaku naib juara menerima USD18,050 (RM77,500).

Selain itu, beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah, turut melakar kejayaan yang sama setelah berjaya meraih gelaran sulung musim ini dengan kejuaraan Terbuka Thailand.

image is not available

Foto: Utusan Malaysia

Pasangan ranking nombor empat dunia itu, menumpaskan beregu Korea Selatan, Jeong Na Eun-Lee Yeon Woo, dengan mata 21-16, 21-17 dalam tempoh 58 minit, sekali gus muncul beregu wanita pertama Malaysia menjuarai kejohanan itu sejak diperkenalkan pada 1984.

Kemenangan itu menamatkan kemarau kejuaraan sejak kali terakhir berjaya menjadi juara di Terbuka Hong Kong pada September tahun lepas, selain merangkul kejuaraan Terbuka Switzerland (2021) dan Terbuka Perancis (2022).

Pasangan ini membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak USD37,525 (RM161,191) manakala Na Eun-Yeong Woo meraih USD18,050 (RM77,542).