Malaysia dan China punya potensi besar pelbagai bidang

LocalBusiness & Finance
12 Nov 2026 • 5:20 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Malaysia dan China punya potensi besar pelbagai bidang

SERDANG: Malaysia dan China mempunyai ikatan ekonomi yang bersifat saling melengkapi selain mempunyai potensi besar untuk meneroka lebih banyak peluang kerjasama dalam pelbagai bidang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedua-dua negara perlu memperluaskan lagi kerjasama ekonomi melangkaui bidang perdagangan serta pelaburan tradisional dengan memfokuskan kepada sektor inovasi, industri dan pembangunan bakat.

Beliau berkata, hubungan Malaysia-China yang sekian lama terjalin perlu terus diperkukuh menerusi kerjasama lebih menyeluruh bagi membuka ruang kepada penciptaan nilai lebih besar kepada komuniti perniagaan dan rakyat kedua-dua negara.

“Perkongsian kita melangkaui perdagangan dan pelaburan tradisional. Kita perlu terus bekerjasama untuk menerima pakai inovasi, memperkukuh kerjasama industri, membangunkan bakat dan mewujudkan nilai lebih besar kepada perniagaan serta rakyat kita,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi ucapan video sempena Persidangan Usahawan Malaysia-China Kali Ke-16 anjuran Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) di sini, hari ini.

Beliau berkata, Persidangan MCCC berkembang menjadi platform penting dalam memupuk hubungan perniagaan, memperkukuh persefahaman bersama serta mewujudkan peluang baharu antara kedua-dua negara.

Katanya, platform itu juga memainkan peranan dalam mendekatkan komuniti perniagaan Malaysia dan China menerusi hubungan serta jaringan kerjasama yang lebih erat.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada MCCC selaku penganjur persidangan berkenaan yang terus menyediakan platform bagi memperkukuh hubungan ekonomi kedua-dua negara.

Anwar berkata, potensi besar yang dimiliki kedua-dua ekonomi perlu dimanfaatkan menerusi usaha berterusan untuk memperluas bidang kerjasama dan meneroka peluang baharu.

Katanya, kerjasama dalam inovasi dan industri antara bidang yang perlu diberikan perhatian bagi memastikan hubungan ekonomi kedua-dua negara terus berkembang.

Selain itu, pembangunan bakat turut menjadi antara aspek penting dalam memperkukuh kerjasama Malaysia-China, khususnya bagi mewujudkan nilai lebih besar kepada komuniti perniagaan dan rakyat.

Beliau berharap persidangan berkenaan dapat membuka lebih banyak ruang kerjasama, mencetuskan idea baharu serta mendekatkan komuniti perniagaan kedua-dua negara.

Anwar berkata, persidangan itu juga diharap dapat menjadi pemangkin kepada hubungan perniagaan yang lebih erat antara Malaysia dan China.

Beliau turut mengajak kedua-dua negara untuk terus bergerak ke hadapan dengan memperkukuh persahabatan serta membina masa depan lebih cerah bersama.

“Marilah kita terus bergerak ke hadapan, memperkukuh persahabatan dan membina masa depan lebih cerah untuk Malaysia dan China,” katanya. – UTUSAN

The post Malaysia dan China punya potensi besar pelbagai bidang appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved