Malaysia diisytihar kalah 3-0 dalam dua perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027

LocalFootball
17 Mar 2026 • 2:52 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kemenangan 4-0 ke atas Vietnam pada 10 Jun dibatalkan kerana Malaysia telah melanggar Artikel 56 Kod Tatatertib dan Etika AFC kerana menurunkan pemain yang tidak layak. FOTO: Agensi

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) kini berdepan tekanan besar selepas Jawatankuasa Tatatertib dan Etika Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memutuskan dua perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 yang melibatkan skuad Harimau Malaya diisytihar kalah 3-0.

Keputusan itu diumumkan selepas mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC yang bersidang pada Selasa, 17 Mac 2026 dan dipengerusikan oleh Jahangir Baglari.

Jawatankuasa mendapati FAM telah melanggar Artikel 56 Kod Tatatertib dan Etika AFC kerana menurunkan pemain yang tidak layak dalam pertembungan menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 25 Mac 2025 yang sebelum ini berkesudahan kemenangan 2-0 untuk Malaysia.

Satu lagi perlawanan melibatkan aksi menentang Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 10 Jun 2025 yang sebelum ini berkesudahan 4-0 untuk Malaysia.

Berdasarkan Artikel 25.1 Kod Tatatertib dan Etika AFC, kedua-dua perlawanan itu diisytihar kalah 3-0 dan FAM turut dikenakan denda sebanyak AS$50,000 (RM196,149).

FAM dijangka menghantar permohonan bertulis bagi mendapatkan alasan rasmi keputusan daripada jawatankuasa tersebut sebelum menilai langkah seterusnya.

Keputusan ini dijangka memberi kesan besar kepada persiapan skuad Harimau Malaya dalam Kelayakan Piala Asia 2027, terutamanya dalam usaha mereka untuk mara ke pusingan seterusnya.