
Malaysia Diisytihar Kalah Dalam Dua Perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027
Jawatankuasa Tatatertib & Etika Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah menjatuhkan hukuman terhadap skuad Harimau Malaya berhubung isu menurunkan pemain yang tidak layak
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan bahawa AFC telah mengisytiharkan Malaysia kalah dalam dua perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027.
Perlawanan pertama itu melibatkan aksi antara Malaysia dan Nepal di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 25 Mac 2025 yang berkesudahan Malaysia menang 2-0.
Dalam pada itu, perlawanan kedua pula membabitkan saingan antara Malaysia dan Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 10 Jun 2025 yang berkesudahan Malaysia menang 4-0.
Baca juga:Susulan itu, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC, Jahangir Baglari itu membuat keputusan bahawa Malaysia diisytihar kalah dengan jaringan 3-0 pada kedua-dua perlawanan tersebut.
Keputusan itu dibuat berdasarkan Artikel 25.1 Kod Tatatertib dan Etika AFC.
"FAM turut dikenakan hukuman denda sebanyak AS$50,000 (RM196,119).
"FAM akan membuat permohonan bertulis bagi mendapatkan alasan keputusan daripada Jawatankuasa Tatatertib & Etika AFC sebelum mempertimbang langkah seterusnya yang akan diambil berhubung perkara ini," kata FAM.

