Malaysia dijangka ambil 200,000 pekerja Bangladesh dalam tempoh enam bulan

1 Sep 2026 • 12:26 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Malaysia dijangka ambil 200,000 pekerja Bangladesh dalam tempoh enam bulan

PETALING JAYA: Kira-kira 200,000 pekerja dari Bangladesh dijangka akan diambil negara ini dalam enam bulan akan datang membabitkan pelbagai sektor dan agensi.

Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan, Pembangunan Luar Bandar dan Koperasi Bangladesh, Mir Shahe Alam berkata, pengambilan secara berperingkat itu akan bermula hujung bulan ini.

“Terdapat kira-kira 800,000 pekerja Bangladesh berdaftar di Malaysia. Ada yang tidak berdaftar.

“Menteri kami telah meminta pihak berkuasa Malaysia mendaftarkan mereka,” katanya memetik laporan The Daily Star.

Beliau berkata demikian selepas Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Bangladesh, Shuhada Othman mengadakan pertemuan dengan Menteri Kerajaan Tempatan, Pembangunan Luar Bandar dan Koperasi, Abdul Moyeen Khan.

Jun lalu, Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman melawat Malaysia dan menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbangkan pembukaan semula pasaran buruh kepada pekerja Bangladesh.

Julai lalu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan dilaporkan berkata, rakyat Malaysia perlu diberi keutamaan untuk mengisi peluang pekerjaan yang tersedia di negara ini sebelum dibuka kepada pekerja asing.

Ia selaras dengan matlamat utama Kementerian Sumber Manusia bagi memastikan peluang pekerjaan diberikan dahulu kepada rakyat tempatan.

Anwar sebelum ini mengarahkan isu permohonan penggajian pekerja asing mengikut keutamaan khususnya bagi sektor restoran diselesaikan kementerian serta jabatan berkaitan dalam tempoh sebulan.

Beliau berkata, kerajaan memahami keperluan mendesak pengusaha restoran di negara ini untuk mengisi kekosongan tenaga kerja, namun pada masa sama perlu memastikan pengambilan pekerja asing dilakukan secara terkawal.

Dasar kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) menetapkan penggajian pekerja asing tidak boleh melebihi 15 peratus daripada guna tenaga negara, manakala di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) jumlah itu disasarkan menurun kepada 10 peratus menjelang 2030. – UTUSAN

The post Malaysia dijangka ambil 200,000 pekerja Bangladesh dalam tempoh enam bulan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved