Malaysia, Filipina bincang percepat proses hantar pulang PATI

LocalPolitics
18 Aug 2026 • 5:51 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Malaysia, Filipina bincang percepat proses hantar pulang PATI

PETALING JAYA: Malaysia dan Filipina membincangkan langkah bagi mempercepat proses penghantaran pulang lebih 5,000 pendatang tanpa izin (PATI) warga Filipina yang ditempatkan di empat buah pusat tahanan di Sabah.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, hasil saringan Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur mendapati lebih 1,000 individu daripada jumlah berkenaan sudah dikenal pasti untuk dihantar pulang.

“Jadi kami berbincang tadi bagaimana untuk mempercepat proses menghantar pulang pendatang tanpa izin dari Filipina oleh kerajaan melalui jalan laut atau apa jua cara.

“Pusat tahanan ini sudah tidak mampu menampung jumlah tahanan yang begitu ramai,” katanya selepas Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (JCM) Malaysia-Filipina Ke-9 di Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina di Manila, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, Malaysia mahu kerajaan Filipina mengambil tindakan segera untuk membawa pulang tahanan berkenaan ke negara asal manakala proses saringan bagi kumpulan seterusnya akan diteruskan.

Sementara itu, beliau berkata, kedua-dua negara turut membincangkan isu pendidikan anak warga Filipina di Sabah.

Jelasnya, Malaysia bersetuju untuk meneliti keperluan menyediakan kelas pembelajaran bagi membolehkan mereka meneruskan pendidikan sebelum dihantar pulang.

Namun, beliau menegaskan sebarang kemudahan pendidikan itu perlu diuruskan oleh kerajaan Filipina bagi memastikan ia dikawal selia dengan baik.

“Kita tidak mahu ada sekolah persendirian ditubuhkan dan kemudiannya tidak dapat dikawal,” katanya.

Sementara itu, berhubung isu tuntutan Sabah oleh pihak tertentu di Filipina, Mohamad berkata, perkara itu tidak dibincangkan secara langsung namun negara berkenaan perlu menghormati undang-undang dan pengiktirafan antarabangsa bahawa Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia.

“Sabah telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai sebahagian daripada Malaysia. Jadi tidak timbul isu untuk mereka mengatakan Sabah bukan wilayah Malaysia,” katanya. – UTUSAN

The post Malaysia, Filipina bincang percepat proses hantar pulang PATI appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved