KDN muktamad status pelarian dalam depoh sebelum akhir tahun

LocalPolitics
18 Aug 2026 • 4:52 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: KDN muktamad status pelarian dalam depoh sebelum akhir tahun

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyasarkan status sejumlah individu yang dikategorikan sebagai pelarian dan kini ditempatkan di depoh Imigresen akan dapat dimuktamadkan sebelum akhir tahun ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, proses temu duga itu kini sedang dijalankan melalui program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum status mereka ditentukan oleh jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr. Awang Alik Jeman.

“Kita sudah pun mengenal pasti secara tepat angka mereka yang kita kategorikan sebagai kelompok ini yang sekarang berada di dalam depoh Imigresen. Kita sudah menetapkan bilangannya.

“Bilangan ini harus kita teruskan pula dengan proses temu duga oleh dua elemen di bawah KDN iaitu Imigresen dan polis,” katanya hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, KDN menerusi JIM sedang melaksanakan program DPP bagi mengurus isu golongan itu secara tersusun, selaras dengan Arahan Majlis Keselamatan Negara No 23 (Semakan 2023).

KDN memaklumkan program itu diwujudkan bagi membolehkan kerajaan memperoleh data biometrik dan maklumat identiti lebih tepat, lengkap dan boleh disahkan mengenai individu yang berada dalam kategori pelarian.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, proses itu penting bagi menentukan sama ada individu berkenaan benar-benar pelarian atau mempunyai kes lain, termasuk melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen seperti salah guna pas, tinggal lebih masa dan memasuki negara tanpa dokumen.

“Jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (Timbalan Perdana Menteri) telah memberikan arahan kepada KDN bahawa pada hujung tahun ini, KDN mesti memuktamadkan sejumlah angka yang telah kita selesai memprosesnya. Itu baru yang di dalam depoh. Kita belum cakap lagi yang di luar sana yang jauh lebih besar,” katanya.

Saifuddin berkata, proses itu merupakan kebolehlaksanaan penentuan status pelarian mengikut acuan dan kerangka undang-undang negara, sekali gus membolehkan Malaysia mempunyai data sendiri.

“Tapi sekurang-kurangnya proses ini akan menilai kebolehpelaksanaan. Apakah boleh kita lakukan mengikut acuan atau kerangka undang-undang kita. Kalau tidak kita selamanya bergantung pada data UNHCR (Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian),” ujarnya. – UTUSAN

The post KDN muktamad status pelarian dalam depoh sebelum akhir tahun appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved