
KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia menggesa Kemboja dan Thailand menghentikan sebarang bentuk permusuhan susulan ketegangan yang semakin memuncak di sempadan kedua-dua negara itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam satu hantaran di media sosial berkata, beliau telah mengadakan perbualan telefon secara berasingan bersama Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, bagi menyatakan kebimbangan Malaysia terhadap konflik berkenaan.
Menurut Anwar, Malaysia turut menetapkan supaya tiada sebarang tindakan ketenteraan dilakukan oleh kedua-dua pihak, termasuk pergerakan pasukan bersenjata ke barisan hadapan, berkuat kuasa jam 10 malam (waktu tempatan), 13 Disember 2025.
“Malaysia juga telah memohon penugasan Pasukan Pemerhati ASEAN yang diketuai Panglima Angkatan Tentera Malaysia untuk memantau situasi di lapangan,” ujarnya.
Jelas Perdana Menteri, misi pemantauan itu akan turut disokong pemantauan satelit oleh Amerika Syarikat, dan hasil dapatan akan dibentang pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN pada 16 Disember ini.
Tambah beliau, kerajaan komited memastikan keamanan dan kestabilan rantau ini terus terpelihara melalui dialog serta pendekatan diplomasi bersama komuniti antarabangsa.

