
SHAH ALAM, 9 SEPT: Malaysia menghantar pasukan pakar DNA ke Nepal bagi membantu proses pengecaman rakyat Malaysia yang terlibat dalam bencana di negara itu.
Jurucakap Kerajaan Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata pasukan berkenaan akan membantu pihak berkuasa Nepal menjalankan analisis serta padanan DNA bagi mengenal pasti mangsa, lapor Astro AWANI.
“Jemaah Menteri dimaklumkan mengenai penghantaran pasukan pakar DNA dari Malaysia ke Nepal untuk membantu proses pengecaman mangsa dari Malaysia akibat bencana di negara tersebut,” katanya.
Beliau berkata perkara itu dimaklumkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Menurut Fahmi, penghantaran pasukan berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan memastikan kebajikan serta nasib rakyat Malaysia yang terjejas di luar negara terus diberi perhatian.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata maklumat lanjut mengenai operasi itu boleh dirujuk kepada Kementerian Luar yang menyelaras urusan melibatkan rakyat Malaysia di Nepal.
Dalam kejadian pada 26 Ogos lalu, seramai 55 rakyat Malaysia dilaporkan gagal dihubungi, manakala 77 lagi yang ditemukan selamat di Tibet dan Nepal dibawa ke Kathmandu bagi menjalani proses dokumentasi sebelum pulang ke tanah air.






