
PETALING JAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan kepakaran serta pengalaman anggotanya untuk mengutip dan mengenal pasti cebisan dipercayai daripada mangsa nahas helikopter di Long Lellang, Ulu Baram.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, kebakaran helikopter menyebabkan proses mengenal pasti cebisan manusia menjadi lebih sukar, terutama apabila ia bercampur dengan serpihan lain di lokasi kejadian.
“Kita akan guna pengalaman kita untuk mengenal pasti antara cebisan yang ditemukan, yang mana merupakan spesimen manusia kerana banyak yang sudah bercampur.
“Jadi kita cuba. Itu kepakaran daripada bomba yang kita akan gunakan. Pasukan seramai tujuh anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dan lapan anggota Unit Udara telah digerakkan dan berada di sana ketika ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Menurut Nor Hisham, cebisan yang dikenal pasti sebagai spesimen manusia akan dikumpulkan sebelum diserahkan kepada pihak berkaitan bagi menjalani proses seterusnya termasuk pengecaman menerusi ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
“Selalunya untuk kesan DNA. Lepas itu kita ambil, serahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan polis untuk mereka ambil langkah seterusnya, terutama berkaitan DNA,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berpandangan kemungkinan mangsa terselamat adalah sangat rendah berdasarkan keadaan helikopter yang terbakar.
“Pada pandangan saya selepas bercakap dengan pakar juruterbang tadi, kemungkinan itu sangat rendah sebab tadi tidak nampak imej tingkap helikopter itu terbuka.
“Kalau terbuka, lainlah bermaksud ada kemungkinan mangsa terjun. Namun SAR akan dilaksanakan dalam lingkungan jarak 100 meter utk pengesahan akhir,” katanya.
Semalam, sebuah helikopter jenis BO-105 bernombor pendaftaran 9M-LLF yang membawa seorang juruterbang dan empat petugas kesihatan terhempas berhampiran penghujung landasan Long Lellang Short Take-Off and Landing Port (STOLport), kira-kira pukul 3.40 petang.
Helikopter dikendalikan Layang-Layang Aerospace Sdn. Bhd. itu sedang menjalankan penerbangan Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) dan membawa seorang pegawai perubatan, seorang penolong pegawai perubatan serta dua jururawat.
Helikopter berkenaan dilaporkan terhempas di penghujung landasan sebelum terbakar, dengan penduduk kampung serta pekerja lapangan terbang bertindak membantu memadamkan kebakaran sebelum kawasan kejadian dikawal bagi memelihara lokasi nahas.
Lima individu yang berada dalam helikopter berkenaan ialah Kapten Zainol, Dr. Ainul, Alexson Adit, Debra Moset dan Jessie Paya. – KOSMO! ONLINE
The post JBPM, PDRM guna kepakaran kenal pasti cebisan mangsa nahas helikopter appeared first on Kosmo Online.






