Malaysia hantar pasukan SMART ke Nepal, sumbang AS$1 juta: Anwar

30 Aug 2026 • 1:24 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Malaysia hantar pasukan SMART ke Nepal, sumbang AS$1 juta: Anwar

KUALA LUMPUR - Malaysia akan menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Nepal susulan kejadian banjir besar yang melanda negara itu, Rabu lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pasukan berkenaan juga diamanahkan untuk mengesan dan membawa pulang rakyat Malaysia yang terjejas.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dengan kerjasama Kementerian Luar juga dipertanggungjawabkan menyelaras dengan kerajaan Nepal bagi memboleh pasukan itu digerakkan secepat mungkin.

“Mereka akan bekerjasama dengan Kedutaan Malaysia di Nepal bagi menyelaras bantuan kemanusiaan serta memastikan kebajikan rakyat Malaysia yang terkandas terpelihara.

“Bagi menyokong usaha bantuan segera dan pemulihan jangka panjang di negara yang dilanda banjir itu, kerajaan turut menyalurkan sumbangan sebanyak AS$1 juta kepada Nepal bagi membantu mangsa terjejas selain menyokong usaha pemulihan pasca bencana,’’ katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Kementerian Luar melaporkan seramai 91 rakyat Malaysia, terdiri daripada 55 di Nepal dan 36 di China, dilaporkan masih belum dapat dihubungi setakat 8 malam tadi.

Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan di China dan Nepal, di samping menyemak silang maklumat dari kedua-dua negara bagi mengenal pasti sebarang pertindihan dalam laporan yang diterima.

Nepal telah menerima bantuan SAR daripada empat negara yang mempunyai warganegara bekerja di kemudahan hidrokuasa yang terjejas akibat banjir.

Setakat ini, Nepal telah menerima bantuan SAR daripada Australia, China, India dan Korea Selatan.

Media antarabangsa melaporkan, banjir itu memusnahkan kawasan di sepanjang sempadan Nepal-Tibet, mengorbankan sekurang-kurangnya 675 orang setakat ini dan mendorong operasi mencari dan menyelamat berskala besar. - 30 Ogos, 2026

The post Malaysia hantar pasukan SMART ke Nepal, sumbang AS$1 juta: Anwar appeared first on Scoop.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved