Hari Kebangsaan 2026: Pesara kerajaan tawar khidmat hantar ke tapak sambutan

30 Aug 2026 • 10:58 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Hari Kebangsaan 2026: Pesara kerajaan tawar khidmat hantar ke tapak sambutan

PUTRAJAYA: “Daripada tengok orang lain penat berjalan jauh, lebih baik saya bantu.”

Itu ringkas seorang pesara kerajaan, Nurizman Arahman, 40, yang menawarkan khidmat ‘ride’ menggunakan motosikal untuk menghantar pengunjung ke lokasi paling hampir dengan tapak sambutan Hari Kebangsaan 2026 yang dijadual berlangsung pagi esok.

Nurizman yang juga pesara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berkata, dia menawarkan caj serendah RM10 kepada pengunjung yang mahu mendapatkan khidmatnya itu.

“Idea ini tercetus hasil pengalamannya sebagai penduduk tetap Putrajaya yang saban tahun terpaksa berjalan jauh untuk ke lokasi sambutan Hari Kebangsaan.

“Penutupan jalan dan kesesakan lalu lintas menyebabkan ramai pengunjung terutama keluarga yang membawa anak kecil serta warga emas berdepan kesukaran untuk menghampiri kawasan acara.

“Saya lihat masalah ini setiap tahun. Ada yang terpaksa berjalan jauh dari kawasan parkir untuk sampai ke tapak perbarisan. Jadi saya fikir, daripada tengok mereka penat berjalan, lebih baik saya bantu dan pada masa sama dapat sedikit pendapatan tambahan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya, dia menawarkan perkhidmatan itu di sekitar Putrajaya dan Cyberjaya dengan menggunakan motosikal Honda ADV160 miliknya.

Nurizman berkata, sambutan yang diterima setakat ini amat menggalakkan apabila 15 individu sudah membuat tempahan sehingga pukul 9 malam ini.

“Mengikut jangkaan saya, antara 20 hingga 30 orang akan menggunakan perkhidmatan ini sepanjang sambutan Hari Kebangsaan berlangsung.

“Biasanya pada malam ambang merdeka sekitar pukul 8 malam, kenderaan mula membanjiri Putrajaya dan kesesakan sebenar berlaku selepas tamat perbarisan sekitar pukul 10.30 pagi hingga tengah hari,” katanya.

Katanya, cabaran utama ialah banyak laluan ditutup bagi tujuan keselamatan dan kelancaran acara, namun pengalaman tinggal di Putrajaya membolehkannya mengenal pasti laluan alternatif yang masih boleh dilalui motosikal.

Jelasnya lagi, memang banyak jalan ditutup, tetapi dia tahu selok-belok jalan di Putrajaya dan laluan yang boleh digunakan untuk membantu penumpang sampai lebih dekat ke lokasi.

Dalam pada itu, Nurizman berkata, aspek keselamatan turut diberi perhatian apabila beliau menyediakan topi keledar untuk penumpang dewasa dan kanak-kanak selain memastikan kanak-kanak yang menaiki motosikal ditemani penjaga.

Menurutnya, setakat ini beliau belum mengetahui individu lain yang menawarkan perkhidmatan sama dan berharap usahanya dapat membantu orang ramai menikmati kemeriahan Sambutan Hari Kebangsaan 2026 dengan lebih selesa. – UTUSAN

The post Hari Kebangsaan 2026: Pesara kerajaan tawar khidmat hantar ke tapak sambutan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved