Malaysia-Indonesia sepakat tingkat usaha diplomasi redakan konflik di Asia Barat

27 Mar 2026 • 8:25 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Malaysia dan Indonesia sepakat untuk mempergiat usaha diplomasi bagi meredakan konflik di Asia Barat yang kini menekan keselamatan tenaga serta kestabilan ekonomi dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertemuan dengan Presiden Indonesia Prabowo Subianto hari ini membuka ruang konstruktif dalam mencari titik persamaan bagi mendepani konflik berkenaan.

“Dalam ketidaktentuan global yang kian meruncing, Malaysia dan Indonesia menegaskan keperluan memperkukuh kesepaduan serantau yang berprinsip bagi memelihara keamanan, menjamin kestabilan serta memperkukuh daya tahan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.

“Kami sepakat untuk mempergiat usaha diplomasi bagi meredakan konflik, melindungi nyawa orang awam serta membuka ruang rundingan ke arah penyelesaian yang aman dan berkekalan,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Pertemuan berkenaan berlangsung selama kira-kira dua jam.

Lawatan khas sehari itu menandakan kunjungan pertama Anwar ke Jakarta tahun ini atas undangan Prabowo, yang disampaikan semasa perbualan telefon antara kedua-dua pemimpin pada 23 Mac lepas.

Dalam pada itu, Anwar berkata, pada masa sama, kelangsungan rantaian bekalan global serta laluan perdagangan strategik termasuk Selat Hormuz mesti dipastikan tidak terjejas.

“Saya turut maklumkan terkait interaksi dengan rakan-rakan pimpinan antarabangsa sebagai usaha menyatakan solidariti, menyelaras pandangan selain meneliti dampak global, khususnya dalam aspek tenaga dan keselamatan serantau.

“Malaysia kekal dengan pendirian tegas, menolak keganasan, menjunjung undang-undang antarabangsa dan menggesa semua pihak kembali kepada jalan damai,’’ katanya. - 27 Mac, 2026

The post Malaysia-Indonesia sepakat tingkat usaha diplomasi redakan konflik di Asia Barat appeared first on Scoop.