Malaysia Airlines perluas sambungan ke Australia menerusi penerbangan harian ketiga ke Victoria

25/04/2025 - 10:48
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 25 April – Malaysia Airlines Berhad (MAB) dan Lapangan Terbang Melbourne (MelAir) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) sempena pengembangan operasi ke Victoria, menandakan satu langkah penting dalam mengukuhkan sambungan udara antara Malaysia dan Australia.
Perjanjian strategik yang dimeterai pada 19 April lalu sempena MATTA Fair 2025 itu menyaksikan syarikat penerbangan nasional itu bakal melancarkan perkhidmatan harian ketiga ke Melbourne bermula Oktober ini, menjadikan keseluruhan 21 penerbangan mingguan antara Kuala Lumpur dan ibu negeri Victoria itu.
Langkah itu bukan sahaja selari dengan usaha Malaysia Airlines untuk mengukuhkan pasaran antarabangsanya, malah dijangka memberi impak positif terhadap sektor pelancongan, perdagangan, dan pelaburan dua hala Malaysia–Australia.
Ketua Pegawai Komersial Kumpulan Penerbangan Malaysia Aviation Group, Dersenish Aresandiran berkata, perkhidmatan tambahan itu memberi lebih fleksibiliti kepada penumpang, selain menyokong pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara melalui peningkatan pelancong, aktiviti eksport, serta pertukaran budaya.
"Kerjasama dengan MelAir, Malaysia Airlines bukan sahaja berpeluang mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai pintu masuk ke Asia, tetapi juga dapat memperkenalkan pengalaman perjalanan premium berasaskan 'Malaysian Hospitality' kepada lebih ramai pelancong dari Australia," katanya dalam satu kenyataan.

Sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan itu, Malaysia Airlines secara berperingkat menggunakan pesawat baharu Airbus A330neo untuk laluan Kuala Lumpur–Melbourne, dengan matlamat kesemua penerbangan harian menggunakan pesawat itu menjelang akhir tahun.
Penggunaan A330neo yang lebih cekap bahan api dan mesra alam dijangka meningkatkan pengalaman penumpang menerusi ruang kabin lebih selesa, teknologi terkini, serta perkhidmatan hiburan dan sambungan internet yang dipertingkat.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lapangan Terbang Melbourne, Lorie Argus berkata, peningkatan kapasiti oleh Malaysia Airlines menunjukkan komitmen jangka panjang syarikat itu terhadap pasaran Victoria.
"Malaysia Airlines telah berkhidmat untuk pasaran Victoria sejak beberapa dekad lalu. Penggunaan pesawat terbaharu bagi laluan ini jelas menunjukkan keyakinan mereka terhadap pertumbuhan dan potensi rantau ini," katanya.
Beliau menambah, pihaknya kini dalam proses memperluaskan terminal antarabangsa dan membina landasan ketiga bagi menampung permintaan perjalanan yang semakin meningkat.
Sebagai lanjutan kerjasama itu, Malaysia Airlines dan MelAir akan melancarkan siri kempen promosi bersama untuk merangsang permintaan dan meningkatkan kesedaran pasaran terhadap tawaran destinasi di kedua-dua negara.
Antaranya termasuk program pemasaran bersama dengan agensi pelancongan seperti Visit Victoria dan Tourism Malaysia, bagi menggalakkan aliran pelancong dua hala serta memperkukuh peranan Malaysia sebagai hab pelancongan dan perniagaan serantau.
MoU turut menyokong sasaran strategik jangka panjang MAB dalam menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai hab transit utama antara Asia Tenggara, Australia, India, dan Eropah.- DagangNews.com
standard





