Malaysia Kecam Serangan Keganasan Di Moscow

26 Mar 2024 • 8:29 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Malaysia Kecam Serangan Keganasan Di Moscow

KUALA LUMPUR — Malaysia dengan tegas mengutuk serangan keganasan ke atas Dewan Bandar Raya Crocus, Moscow yang berlaku pada Jumaat lalu.

Perkara itu dimaklumkan oleh Wisma Putra dalam satu kenyataan rasmi semalam di platform Facebook.

Tambah kenyataan tersebut, Wisma Putra merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada Kerajaan Persekutuan Rusia serta kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam serangan tersebut.

“Pendirian negara amat jelas, iaitu menolak sekeras-kerasnya segala tindakan keganasan dan ekstremisme dalam semua bentuk.

“Malaysia akan terus menekankan keperluan untuk usaha yang bersepadu pada peringkat antarabangsa bagi menghapuskan tindakan keganasan secara menyeluruh dan berkesan,” maklum kenyataan tersebut.

Dalam perkembangan lain, Kementerian Luar Negeri, melalui Kedutaan Besar Malaysia di Moscow telah mengesahkan bahawa semua rakyat dan pelajar Malaysia yang berdaftar di Moscow berada dalam keadaan selamat.

“Rakyat dan pelajar Malaysia di Moscow dinasihatkan untuk sentiasa mengikuti perkembangan terkini, mengambil langkah berjaga-jaga serta mengikuti nasihat yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan,” kata kenyataan itu lagi.

Maklum Wisma Putra, sekurang-kurangnya 60 orang dilaporkan terkorban manakala lebih 145 orang tercedera dalam insiden itu sehingga semalam.

Bagaimanapun, setakat hari ini, angkat kematian itu meningkat kepada 143 orang, lapor Bernama.

Sementara itu, Jawatankuasa Penyiasatan Rusia melaporkan lebih 100 mangsa yang lain cedera termasuk dua kanak-kanak dalam kejadian itu, lapor CNN.

Pampasan untuk merek yang terlibat dalam serangan

Susulan itu, Gabenor wilayah Moscow, Andrey Vorobyov pada Sabtu berkata mangsa serangan pengganas itu akan menerima pampasan kewangan daripada wilayah dan kerajaan bandar

Mangsa yang meninggal dunia akan diberikan pampasan bernilai $32,500 (lebih RM153,000), manakala mereka yang cedera akan menerima $10,840 (lebih RM51,300) setiap seorang.

“Kanak-kanak yang berdaftar di wilayah Moscow yang kematian bapa atau ibu mereka dalam tragedi itu juga akan menerima bayaran bulanan. Di samping itu, kami akan memberi pampasan kepada semua orang untuk perbelanjaan pengebumian dan menyelesaikan semua isu undang-undang,” tambah Vorobyov.

Sumber: Wisma Putra