Malaysia Kecam Serangan Keganasan Di Rusia

24 Mar 2024 • 8:46 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Orang awam meletakkan bunga dan anak patung serta menyalakan lilin tanda berkabung terhadap serangan pengganas di Dewan Bandaraya Crocus di wilayah Moscow pada Jumaat malam. - gambar Sputnik

PUTRAJAYA - Malaysia menyertai masyarakat antarabangsa mengecam sekeras-kerasnya serangan keganasan di Moscow, Rusia dan mengulangi pendirian menolak semua bentuk keganasan yang menggugat keamanan dan keselamatan mana-mana negara.

Dalam satu kenyataan pada Ahad, Kementerian Luar juga dikenali sebagai Wisma Putra berkata, Malaysia menekankan semula pendirian tegasnya untuk menentang keganasan dan ekstremisme dalam segala bentuk dan manifestasinya serta menyeru agar pelaku serangan keji itu segera dibawa ke muka pengadilan.

"Serangan keganasan di Moscow pada Jumaat lalu sangat menyedihkan. Seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, keganasan tiada tempat dalam dunia bertamadun ini," menurut kementerian itu.

Wisma Putra berkata, kementerian melalui Kedutaan Besar dan pejabatnya di seluruh dunia, terus komited untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia di luar negara, serta memperjuangkan dialog dan penyelesaian konflik secara aman.

Serangan pengganas di Dewan Bandaraya Crocus di wilayah Moscow pada Jumaat malam menyebabkan kematian sekurang-kurangnya 133 orang dan mencederakan lebih 140 mangsa. - BERNAMA