
KUALA LUMPUR - Malaysia kekal dengan pendirian untuk menyelesaikan segala pertikaian menerusi dialog, diplomasi dan pendekatan damai.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, prinsip tersebut adalah perlu demi menjamin kestabilan serantau, termasuk dalam menangani konflik di Asia Barat,
Menurut beliau, pendirian berkenaan disuarakan menerusi perbualan telefon bersama rakan sejawatannya dari Pakistan, Shehbaz Sharif malam tadi.
“Sewaktu panggilan telefon dengan rakan sejawat saya dari Pakistan, Shehbaz Sharif, kami berbincang mengenai pelbagai perkembangan serantau dan usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Pakistan yang sekian lama terjalin erat.
“Kami juga berbincang mengenai kepentingan masyarakat antarabangsa bersuara dan mengambil langkah tegas untuk menghentikan keganasan dan kekejaman Israel terhadap orang awam di Gaza dan Lebanon,” katanya.
Jelas Perdana Menteri, perbualan berkenaan turut menyentuh perkembangan positif rundingan antara Iran dan Amerika Syarikat, termasuk perbincangan berkaitan pembukaan semula Selat Hormuz yang amat penting kepada kestabilan perdagangan dan keselamatan serantau.
“Saya menyatakan penghargaan Malaysia akan peranan Pakistan dalam usaha pengantaraan berterusan serta kesediaannya menjadi tuan rumah bagi rundingan seterusnya,” katanya.
Beliau memberi jaminan, hubungan Malaysia dan Pakistan akan terus diperkukuh berlandaskan semangat persahabatan, saling menghormati dan komitmen bersama terhadap keamanan serta kemakmuran sejagat.
“Saya turut menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada beliau serta rakyat Pakistan, dengan harapan semoga semangat pengorbanan dan persaudaraan terus memperkukuh keamanan dan kesejahteraan ummah,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Anwar berkongsi, kesempatan cuti Hari Raya Aidiladha digunakannya untuk membelek beberapa buku kegemaran daripada pelbagai bidang termasuk sastera.
Peluang berkenaan katanya, turut digunakan untuk terus belajar dan merenung perjalanan zaman yang semakin mencabar.
“Buku mengajar kita untuk lebih sabar berfikir, lebih matang menilai dan tidak mudah tenggelam dalam budaya menghukum atau sensasi yang singkat usianya,” katanya.
Perdana Menteri dijadualkan melancarkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 hari ini. - Getaran, 28 Mei 2026

