SEPANG - Malaysia mengetuai misi global bagi memecahkan kepungan ke atas Gaza apabila kerajaan mengambil peranan utama dalam kempen antarabangsa melibatkan laluan darat dan laut.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Datuk Dr Ahmad Sani Abdul Alim Araby berkata, penglibatan itu membuktikan Malaysia bukan sekadar menyertai, sebaliknya memimpin usaha kemanusiaan bersama masyarakat dunia.
Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bersetuju menjadi penaung utama misi berkenaan, manakala Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari diamanahkan sebagai ketua misi mewakili kerajaan Malaysia.
"Ini kali pertama kita hadir bukan sebagai NGO (badan bukan kerajaan) semata-mata, tetapi sebagai sebuah negara yang menggerakkan usaha bersama dari peringkat kerajaan hingga rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena Pelancaran Misi Kemanusiaan 30 Kontena Malaysia ke Gaza dan Global Sumud Flotilla 2.0 di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Isnin.
Ahmad Sani berkata, pelaksanaan kempen Sumut Nusantara 2026 yang digerakkan menerusi lima fasa utama.
Beliau menjelaskan, fasa pertama melibatkan penghantaran 30 kontena bantuan kemanusiaan yang kini ditempatkan di Mesir sebelum dibawa masuk ke Gaza melalui pintu Rafah hasil usaha diplomatik antara kedua-dua negara.
Katanya, fasa kedua pula akan menyaksikan sidang media antarabangsa di Rafah bagi menegaskan pendirian Malaysia bahawa isu Gaza masih belum selesai.
"Bagi fasa ketiga, lebih 100 negara dengan kira-kira 70 kapal menyertai Global Sumud Flotilla 2.0, meningkat berbanding 44 negara tahun lalu sekali gus menjadikannya antara misi terbesar dunia," jelas beliau.
Tambah beliau, Malaysia turut menghantar doktor dan kru kapal selain memainkan peranan sebagai antara penganjur utama dalam misi berkenaan.
Menurutnya, fasa keempat melibatkan penganjuran kongres parlimen dunia bagi menghimpunkan wakil rakyat pelbagai negara untuk mendesak tindakan di peringkat dasar antarabangsa.
Katanya, fasa terakhir adalah tindakan undang-undang di Mahkamah Jenayah Antarabangsa bagi membawa isu Gaza serta insiden penahanan aktivis ke muka pengadilan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan usaha berkenaan memerlukan sokongan semua pihak termasuk kerajaan, NGO dan rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang.
"Ini masa untuk kita bersatu sebagai sebuah negara dalam mempertahankan kemanusiaan dan membela nasib rakyat Palestin," tambahnya.
Sementara itu, Amirudin semasa ucapannya memaklumkan, kira-kira 3,000 peserta dari hampir 100 negara seluruh dunia menyertai Misi Kemanusiaan ke Gaza sekali gus mencerminkan solidariti global terhadap nasib rakyat Palestin.
Amirudin berkata, penyertaan besar itu menunjukkan misi ke Gaza bukan sekadar usaha kelompok tertentu, sebaliknya membawa suara kemanusiaan sejagat.
Menurutnya, misi itu turut melibatkan penghantaran lebih 300 tan bantuan kecemasan menerusi 30 kontena hasil sumbangan orang ramai, syarikat, kerajaan negeri dan Persekutuan.
"Ini bukan isu dua tahun kebelakangan ini, sebaliknya sudah puluhan tahun rakyat di Gaza terperangkap dan memerlukan pembelaan segera.
"Kita berharap bantuan ini dapat meringankan beban dan memberi manfaat kepada kira-kira 100,000 penduduk di sana," katanya.
Amirudin yang juga Menteri Penaung Misi Bantuan Kemanusiaan 30 Kontena Malaysia ke Gaza dan Menteri Penaung Misi Sumud Flotilla 2.0 berkata, misi itu akan melalui beberapa lokasi termasuk Kaherah, Mesir dan Barcelona, Sepanyol sebelum cuba memasuki Gaza menerusi laluan darat dan laut.
Katanya, usaha itu dijangka berdepan pelbagai cabaran, namun pihaknya tetap komited memastikan bantuan sampai kepada rakyat Palestin.
"Kerajaan Persekutuan turut membantu dari segi hubungan dengan negara terlibat termasuk di Eropah bagi membuka laluan terbaik untuk menjayakan misi ini.
"Kita berharap doa dan sokongan rakyat Malaysia menjadi kekuatan kepada pasukan yang membawa misi keamanan ini," jelasnya.

