Malaysia komited kurangkan subsidi RON95 pada separuh kedua tahun ini, kata MOF kepada Bloomberg

LocalPolitics
16 May 2025 • 2:32 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malaysia komited kurangkan subsidi RON95 pada separuh kedua tahun ini, kata MOF kepada Bloomberg

image is not available

16/05/2025 - 14:32

KUALA LUMPUR 16 Mei - Malaysia komited untuk mengurangkan subsidi petrol pada separuh kedua tahun ini, dan sedang memperhalusi rancangannya ketika tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS) menjejaskan prospek ekonomi.

Kerajaan “akan terus menilai input dan memperhalusi segala butiran” pelaksanaan semula subsidi bahan api, sambil berunding secara aktif dengan pelbagai pihak berkepentingan, kata jurucakap Kementerian Kewangan (MOF) sebagai maklum balas kepada soalan daripada Bloomberg News.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Oktober 2024 berkata, kerajaan akan mengurangkan subsidi bagi petrol pada pertengahan 2025 kerana langkah yang dijangka dapat menjimatkan kerajaan sebanyak RM8 bilion setahun.

Pembuat dasar merancang untuk melaksanakan sistem harga dua peringkat bagi petrol RON95 dengan Perdana Menteri berkata, ketika itu hanya 15% golongan paling kaya akan membayar harga pasaran, manakala selebihnya akan terus menikmati harga subsidi semasa.

“Kerajaan kekal komited untuk melaksanakan penyasaran semula subsidi RON95 pada separuh kedua 2025, dan akan berkongsi maklumat lanjut pada masa yang sesuai,” kata jurucakap itu.

Anwar, yang kini berada di pertengahan penggal lima tahunnya, berdepan cabaran mengimbangi pelbagai kepentingan. Ahli-ahli parlimen telah menggesa kerajaan supaya menangguhkan langkah itu serta penyesuaian dasar fiskal lain yang mereka khuatiri boleh menjejaskan keyakinan perniagaan dan meningkatkan kos kepada pengguna.

Bagaimanapun, pemotongan subsidi penting untuk memenuhi janji kerajaan bagi mengecilkan defisit fiskal negara.

Pengurangan subsidi diesel pada Jun 2024 telah menambah pendapatan kerajaan — namun diikuti dengan kekalahan gabungan pemerintah dalam satu pilihan raya kecil.

Bagi meredakan kebimbangan rakyat, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pada Mac lalu, satu kajian kerajaan menunjukkan pemotongan subsidi yang dirancang tidak akan menjejaskan 80% hingga 90% rakyat.

Penurunan harga minyak global baru-baru ini memudahkan pembuat dasar meneruskan langkah yang sensitif dari segi politik ini, ketika gangguan perdagangan global akibat tarif yang dikenakan Presiden AS Donald Trump menjejaskan prospek ekonomi Malaysia.

Pegawai kerajaan sedang berusaha untuk merundingkan perjanjian dengan Washington dalam tempoh penangguhan selama 90 hari sebelum tarif lebih tinggi dikuatkuasakan oleh Trump, yang telah mengenakan levi 10% ke atas barangan dari Malaysia dan ramai rakan dagang lain.

Malaysia juga telah menangguhkan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang sepatutnya bermula pada 1 Mei 2025 dan ia memberikan sedikit kelegaan sementara kepada pengilang tetapi kadar tarif elektrik dijadualkan naik pada Julai ini.

Kerajaan yakin dapat mencapai sasaran untuk mengecilkan jurang belanjawan kepada 3.8% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) tahun ini daripada 4.1% pada tahun 2024, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada April lalu.

Pembuat dasar sedang berusaha memastikan pelaksanaan pemotongan subsidi petrol berjalan “dengan sebaik mungkin untuk rakyat Malaysia dan berkesan dalam mencapai matlamatnya”, kata jurucakap MOF.

“Matlamat utama tetap jelas — memastikan majoriti rakyat Malaysia terus menikmati RON95 pada harga bersubsidi sambil menangani ketirisan subsidi kepada warga asing, perniagaan dan golongan berpendapatan tertinggi,” katanya. - DagangNews.com

featured standard