Peningkatan 4.4% ekonomi Malaysia pada Q1 atasi pertumbuhan 4.2% tahun lalu - Menteri Kewangan II

16/05/2025 - 17:46
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 16 Mei - Pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak 4.4% pada suku pertama 2025 adalah selari dengan anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mengatasi pertumbuhan sebanyak 4.2% pada suku sama tahun sebelumnya dipacu sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penggunaan swasta menjadi tonggak utama ekonomi Malaysia, mencatat pertumbuhan sebanyak 5% pada suku pertama tahun ini.
"Ini didorong oleh prestasi pasaran buruh yang menggalakkan dengan penurunan kadar pengangguran kepada 3.1% dan kestabilan kadar inflasi pada 1.5% — kedua-duanya terendah dalam sejarah Kerajaan Madani.
"Berbanding dengan prestasi pada suku pertama 2024 penggunaan swasta meningkat sebanyak 4.7% dengan kadar pengangguran berada pada paras 3.3% dan kadar inflasi pada 1.7%.

“Pelaburan telah mengekalkan momentum pertumbuhannya pada suku pertama, dengan kenaikan sebanyak 9.7% — mencerminkan sambutan baik pelabur dunia terhadap dasar propembangunan Kerajaan Madani serta penekanan aspek kelestarian seperti digariskan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan lain-lain kerangka dasar utama negara,” katanya, dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, usaha turut giat dilaksanakan untuk terus menarik pelaburan langsung asing (FDI) yang berkualiti bagi merangsang pertumbuhan ekonomi, di samping mengekalkan ekosistem pelaburan yang dinamik selepas mencatatkan pelaburan domestik tertinggi dalam tempoh sedekad pada 2024.
Pada masa yang sama, katanya, Kerajaan Madani akur terdapat risiko penurunan kepada unjuran rasmi pertumbuhan pada tahun 2025 iaitu 4.5% hingga 5.5% disebabkan permintaan luaran yang kian menguncup, ketegangan geopolitik yang meningkat dan amalan perlindungan perdagangan yang kian meluas — khususnya pengumuman tarif timbal balik oleh Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.
"Kerajaan Madani akan membuat semakan kepada unjuran KDNK 2025 apabila situasi tarif timbal balik ini menjadi lebih stabil dan terdapat lebih kejelasan.
"Pada masa sama, kerajaan akan melaksanakan beberapa langkah mitigasi untuk mengukuhkan asas dalaman negara — dengan salah satunya mempertingkatkan pelaburan langsung domestik (DDI).
"Syarikat-syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) telah memberi komitmen untuk bersama-sama melabur sebanyak RM25 bilion untuk DDI pada tahun ini, melalui program GEAR-uP," katanya.
Kerajaan juga akan meneruskan rundingan perdagangan dua hala dengan AS serta memanfaatkan saluran pelbagai hala seperti Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) bagi memastikan persekitaran perdagangan yang adil dan kondusif untuk semua pihak.
Kerajaan Madani akan terus memperhebatkan usaha mempelbagaikan pasaran eksport dan memeterai perjanjian perdagangan baharu untuk meredakan impak daripada ketidaktentuan ekonomi global.
Usaha itu telah membuahkan hasil awal pada 2024 dengan peningkatan pelaburan dan nilai eksport ke pasaran bukan tradisional — seperti Mesir, Pakistan, dan Kemboja , selain daripada pasaran ASEAN yang lain. - DagangNews.com
featured standard

