Malaysia, Korea bekerjasama bangunkan pusat biogas sawit menerusi pelaburan RM700 juta

LocalEnvironment
6 Oct 2025 • 3:33 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malaysia, Korea bekerjasama bangunkan pusat biogas sawit menerusi pelaburan RM700 juta

image is not available

06/10/2025 - 15:33

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 6 Okt – Malaysian Bioeconomy Development Corporation, agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bernilai RM700 juta dengan syarikat tenaga boleh baharu dari Korea Selatan, Polaris Bio Co Ltd.

Kerjasama itu bertujuan membangunkan pusat naiktaraf biogas berasaskan efluen kilang kelapa sawit (POME) di Malaysia sebagai sebahagian daripada inisiatif pelaburan tenaga boleh baharu negara.

Pusat pertama melibatkan pelaburan awal sebanyak RM30 juta daripada keseluruhan nilai RM700 juta, bagi menguji keberkesanan teknikal dan kewangan teknologi biogas.

Jika berjaya, projek itu akan diperluaskan kepada lebih 20 pusat biogas di seluruh Malaysia, yang dijangka dapat mengurangkan sehingga 384,000 tan karbon dioksida setiap tahun.

Melalui kerjasama ini, POME akan ditukar menjadi Bio-CNG, sejenis bahan api mampan, di samping menjana kredit karbon yang boleh didagangkan di peringkat antarabangsa melalui Internationally Transferred Mitigation Outcomes (ITMOs) di bawah Perjanjian Paris.

Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation, Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak berkata pembangunan biogas daripada sisa sawit adalah peluang strategik bagi Malaysia.

“Projek terdahulu menghadapi cabaran seperti hasil pengeluaran tidak stabil dan kos penyelenggaraan tinggi, tetapi teknologi terkini membolehkan pengeluaran lebih efisien dan boleh dipercayai.

“Biogas kini boleh diproses menjadi Bio-CNG, biometana dan bahan kimia hijau, menyumbang kepada pengurangan jejak karbon serta mengukuhkan ekosistem tenaga boleh baharu dan industri berasaskan bio di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Polaris Bio, Junghwan Kim berkata, kerjasama ini membuka peluang baharu untuk memperluas penyelesaian biotenaga di Malaysia dan menjadi model contoh kerjasama rentas sempadan.

“Polaris Bio aktif dalam inisiatif perintis sejak 2020 yang menukar POME kepada Bio-CNG dan kini memulakan pelaburan langsung dengan sokongan Kerajaan Korea, termasuk kementerian berkaitan dan syarikat swasta terkemuka Korea.

“Kerjasama ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan Korea–Malaysia dalam bidang tenaga boleh baharu dan pasaran karbon, tetapi juga menjadi usaha dua hala yang akan memperkukuh pembangunan pasaran karbon di kedua-dua negara,” katanya.

Majlis pertukaran MoU disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof sempena Ekspo Inovasi dan Pengkomersialan Negara (NICE 2025) di Kuala Lumpur.

Kerjasama ini selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menyasarkan 40% tenaga boleh baharu dalam campuran tenaga negara menjelang 2035.

Projek ini juga menyokong Dasar Bioteknologi Negara 2.0, memperkukuh industri berasaskan bio dan inovasi mampan serta memacu pertumbuhan bioekonomi kitaran Malaysia. - DagangNews.com

standard