Aman Cove bangunkan bandar baharu bernilai RM650 juta di Taman Teknologi Tinggi Kulim

11/09/2025 - 14:42
Taman Teknologi Tinggi Kulim Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 11 Sept – Aman Cove Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara Aman Setia Group dan Imperio Group menandatangani perjanjian jual beli dengan Perbadanan Taman Teknologi Tinggi Kulim untuk memperoleh 28.3 hektar tanah komersial dan kediaman di Taman Teknologi Tinggi Kulim berharga RM67 juta.
Bandar yang dirancang itu mempunyai anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM650 juta dan akan dibangunkan secara berperingkat selama 12 tahun.
Kerja pecah tanah dijangka bermula pada suku pertama 2027 dan projek itu menyasarkan tenaga kerja Taman Teknologi Tinggi Kulim serta komuniti berhampiran termasuk Lunas, Butterworth dan Bukit Mertajam.
Terletak di sepanjang Lebuh Raya Perdana, bandar ini akan menggabungkan kawasan kediaman dan komersial, dengan kemudahan komuniti seperti masjid dan taman sosial, selari dengan matlamat mewujudkan kawasan lestari dan menyokong pertumbuhan ekonomi setempat.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Taman Teknologi Tinggi Kulim, Datuk Mohd Sahil Zabidi berkata, kawasan itu ialah ekosistem industri utama Kedah, menarik sebahagian besar pelaburan pembuatan negeri dan merangsang pembangunan rumah serta komersial di sekitarnya.
“Bekerjasama dengan Aman Cove adalah pilihan tepat. Kami menghargai rakan kongsi tempatan dan berharap mereka dapat membawa dinamik baharu ke kawasan ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Projek bandar baharu ini itu dijangka akan menarik lebih ramai pelabur dan komuniti baru ke kawasan tersebut sekali gus meningkatkan keberdayaan ekonomi dan mewujudkan persekitaran kerja serta kediaman yang seimbang.
Selain itu, pembangunan yang dirancang juga akan memperkukuhkan profil Taman Teknologi Tinggi Kulim sebagai hab teknologi dan industri utama Kedah, menyediakan peluang pekerjaan dan memberi impak positif kepada pertumbuhan sektor perumahan dan komersial di kawasan sekitar.
Pembangunan bandar baharu ini juga dijangka menyediakan kemudahan moden, keselamatan, pengurusan trafik yang lebih baik, dan ruang hijau bagi meningkatkan pengalaman hidup dan kerja bagi penduduk dan pekerja TTHK.
Dengan perancangan berperingkat selama 12 tahun, Aman Cove mensasarkan untuk membangunkan kawasan ini menjadi bandar lestari dan moden, sejajar dengan visi menjadikan TTHK pusat industri dan komuniti yang progresif.
Sementara itu, Pengarah Aman Cove, Lee Woei Nen berkata, projek itu bertujuan menjadikan Taman Teknologi Tinggi Kulim lebih dinamik, mengekalkan tenaga kerja hi-tech sedia ada, menarik lebih ramai pelabur dan membentuk sebuah daerah yang menjadi kebanggaan penduduk serta asas pelaburan yang kukuh.
“Kami merancang pembangunan berpusatkan komuniti berasaskan nilai teras 3C iaitu kemudahan, saling berhubung dan komuniti.
“Fokus pertama ialah kemudahan awam, diikuti dengan jaringan sosial dan ruang komersial fleksibel, serta pembangunan komuniti lestari,” katanya. - DagangNews.com
standard



