
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup menggesa Indonesia mengambil tindakan tegas dan berkesan bagi menangani isu jerebu rentas sempadan.
PUTRAJAYA: Malaysia mahu Indonesia mengambil tindakan tegas dan berkesan bagi menangani kebakaran yang menyebabkan pencemaran jerebu rentas sempadan sehingga menjejaskan kualiti udara serta kesejahteraan rakyat negara ini.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata walaupun Malaysia sentiasa menghormati hubungan diplomatik yang baik dengan Indonesia, negara ini tetap berhak menuntut tindakan sewajarnya bagi memastikan rakyat dapat menikmati udara bersih.
“Pendirian Malaysia jelas. Kita menghormati hubungan baik dengan Indonesia, tetapi kita juga berhak menuntut tindakan yang berkesan apabila pencemaran rentas sempadan menjejaskan rakyat kita.
“Kebakaran mesti dikawal, pencemaran mesti dikurangkan dan rakyat mesti dilindungi,” katanya dalam sidang media berhubung perkembangan jerebu di sini hari ini.
Arthur berkata Malaysia telah mengadakan beberapa rundingan dengan Indonesia termasuk menawarkan bantuan aset dan tenaga kerja bagi mempercepat usaha memadamkan kebakaran di kawasan terjejas.
Tawaran bantuan itu, menurut beliau juga disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Presiden Indonesia Prabowo Subianto selain Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut membangkitkan perkara sama ketika lawatan rasmi ke republik tersebut.
Beliau berkata Indonesia telah memberikan persetujuan secara lisan untuk menerima bantuan Malaysia, namun penyelarasan lanjut masih dijalankan sementara menunggu kebenaran bagi membolehkan aset dan anggota digerakkan.
Dalam pada itu, Arthur berkata Malaysia akan membangkitkan isu jerebu rentas sempadan pada mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN di Manila, Filipina pada awal November sebagai usaha mendapatkan penyelesaian lebih berkesan pada peringkat serantau.
Beliau berkata kerajaan akan meneliti perkembangan hasil mesyuarat itu sebelum menentukan langkah seterusnya.
Selain itu, Arthur berkata laporan taburan satelit pada 14 Okt menunjukkan kelompok titik panas yang meluas di selatan Sumatera serta Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata kerjasama serantau penting bagi memastikan kebakaran dapat dikawal bermula dari puncanya bagi mengelakkan pencemaran jerebu terus menjejaskan negara jiran.






