
PETALING JAYA: Kesemua 68 stesen pemantauan kualiti di seluruh negara dilengkapi alat pengukuran menggunakan kaedah teknikal dan piawaian diiktiraf Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (US EPA).
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, stesen tersebut menjalani penyelenggaraan, pemeriksaan prestasi, penilaian kualiti, dan kawalan kualiti bagi memastikan data dikeluarkan untuk bacaan rasmi IPU tepat dan boleh dipercayai.
Justeru katanya, bacaan di stesen berkenaan mematuhi piawaian meteorologi antarabangsa ditetapkan Institut Piawaian dan Teknologi Kebangsaan (NIST).
“Bacaan rasmi IPU dikemas kini setiap jam dengan pengiraan IPU bagi jirim zarah mengikut piawaian ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta amalan agensi alam sekitar antarabangsa.
“Data yang direkod dipantau berterusan melalui Pusat Data Alam Sekitar bagi mengesan sebarang perubahan pada bacaan, memantau prestasi peralatan, dan membolehkan tindakan pembetulan diambil sekiranya berlaku gangguan data atau kejanggalan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) yang bertanyakan langkah kerajaan memastikan bacaan rasmi IPU kekal tepat, telus, dan diyakini orang ramai.
Sementara itu, Joseph Kurup berkata, kerajaan akan berusaha menambah lebih banyak stesen di Sarawak yang terjejas teruk akibat masalah jerebu dari Kalimantan.
Katanya, Jabatan Meteorologi telah membangunkan model kualiti udara berbilang skala komuniti Malaysia (MC-MAQ), yang menyediakan ramalan beresolusi tinggi secara berkala mengenai keadaan kualiti udara dan kepekatan pencemar atmosfera di Malaysia serta Asia Tenggara.
“Model ini berkeupayaan meramal potensi berlakunya pencemaran udara dan jerebu sehingga lima hari lebih awal. Saya berharap orang ramai akan merujuk kepada platform ini supaya mereka dapat membuat persiapan dan mengambil tindakan berhubung aktiviti masing-masing lima hari ke depan,” katanya. – UTUSAN
The post Stesen IPU ikut piawaian antarabangsa appeared first on Utusan Malaysia.






