
KUALA LUMPUR - Malaysia menetapkan sasaran untuk muncul sebagai hab kepimpinan kecederdasan buatan (AI) serantau.
Serentak dengan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, China selaku pemilik perusahaan AI terkemuka dunia dijemput menubuhkan ibu pejabat serantau di negara ini.
Menurut beliau, China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia untuk tahun ke-16 berturut-turut pada 2024 dengan jumlah dagangan mencecah AS$106.04 bilion (RM484.12 bilion).
“Guangxi sebagai pintu masuk China ke ASEAN memainkan peranan penting dalam memudahkan perdagangan dan pelaburan dua hala,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Perdana Menteri menyatakan demikian sebagai mengulas pertemuan bersama delegasi dari Guangxi, termasuk gabenor wilayah itu, Lan Tianli di Putrajaya pagi tadi.
Jelas Anwar, lawatan tersebut mencerminkan hubungan mendalam dan terjalin lama antara Malaysia dan China, terutamanya dengan Guangxi sebagai rakan wilayah yang penting.
“Selain itu, kami turut menyentuh usaha-usaha memajukan Inisiatif "Dua Negara, Taman Berkembar" melibatkan Taman Perindustrian iKuantan Malaysia-China (MCKIP).
“Inisiatif ini terus menunjukkan kemajuan positif dengan 19 projek diluluskan bernilai RM25.68 bilion dengan jangkaan pewujudan lebih 10,000 peluang pekerjaan,” katanya.

Perdana Menteri menarik perhatian, RM20.77 bilion telah direalisasikan dengan 7,572 pekerjaan diwujudkan setakat ini.
“Ini menunjukkan manfaat ketara kerjasama Taman Berkembar kepada ekonomi dan tenaga kerja Malaysia.
“Saya maklumkan bahawa Malaysia menantikan Lawatan Negara Presiden Xi Jinping yang dijadualkan pada 15-17 April ini,” katanya.
Anwar berkata, beliau dan Tianli turut bertukar pandangan, melibatkan aspek potensi perdagangan dua hala meliputi ASEAN, termasuk pengukuhan kerjasama AI dan Digital.
“Moga hubungan diplomatik Malaysia dan China terus berada pada tahap matang sehingga mampu menghadapi sebarang isu dan cabaran mendatang,” katanya. - Getaran, 10 April 2025



