Malaysia Marine and Heavy Engineering catat penyusutan untung bersih 86.4% kepada RM10.05 juta pada 2QFY25

LocalBusiness & Finance
22 Aug 2025 • 3:13 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malaysia Marine and Heavy Engineering catat penyusutan untung bersih 86.4% kepada RM10.05 juta pada 2QFY25

image is not available

22/08/2025 - 15:13

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Berhad mencatatkan penyusutan untung bersih 86.4% kepada RM10.05 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2QFY25) disebabkan sumbangan lebih rendah segmen kejuruteraan berat.

Hasil kumpulan pada suku berkenaan juga merudum lebih 50% kepada RM431.57 juta berbanding RM900 juta pada 2QFY24.

Katanya, segmen kejuruteraan berat mencatatkan hasil sebanyak RM310 juta bagi suku semasa, lebih rendah berbanding RM809.5 juta pada suku sama tahun sebelumnya disebabkan projek-projek yang hampir siap serta projek baharu yang masih berada di peringkat awal pelaksanaan.

Segmen itu juga mencatatkan keuntungan operasi sebanyak RM1.5 juta, berbanding keuntungan operasi sebanyak RM67.7 juta pada suku yang sama tahun lalu.

"Penyusutan keuntungan operasi ini disebabkan aktiviti projek yang lebih rendah, kerana projek baharu masih di peringkat permulaan, manakala keuntungan operasi pada suku yang sama tahun lalu kebanyakannya adalah hasil bayaran balik kos daripada pelanggan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

Kumpulan itu berkata, bagi segmen marin, pendapatan sebanyak RM121.6 juta bagi suku semasa adalah RM31 juta lebih tinggi berbanding suku yang sama tahun sebelumnya, disebabkan aktiviti penukaran dan pembaikan kapal yang lebih tinggi.

Selaras dengan peningkatan pendapatan tersebut, segmen berkenaan mencatatkan keuntungan operasi sebanyak RM11 juta pada suku semasa, iaitu RM1.9 juta lebih tinggi berbanding keuntungan operasi sebanyak RM9.1 juta pada 2QFY24.

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, segmen kejuruteraan berat terus disokong oleh buku tempahan yang stabil dan peluang berterusan dalam sektor tenaga boleh baharu (RE).

Segmen itu akan terus membina portfolio yang seimbang dengan mengukuhkan kedudukan dalam projek tenaga konvensional sambil secara progresif mengembangkan ke dalam projek RE bagi menjamin kecemerlangan pelaksanaan projek kekal sebagai keutamaan utama.

"Segmen marin terus mencatatkan prestasi yang stabil, disokong oleh aliran tetap kontrak pembaikan dan penukaran kapal, serta peningkatan bilangan kapal dari pelanggan antarabangsa untuk kerja-kerja pembaikan.

"Segmen ini kekal fokus untuk meningkatkan keupayaan limbungan dan mengoptimumkan operasi, sambil terus berwaspada terhadap peraturan yang berkembang, perubahan dasar serta keperluan untuk pemodenan limbungan secara berterusan bagi mengekalkan daya saing jangka panjang," katanya.- DagangNews.com

standard