Untung bersih Velesto pada 2QFY25 susut kepada RM50.44 juta disebabkan penggunaan aset rendah

LocalBusiness & Finance
22 Aug 2025 • 2:34 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Untung bersih Velesto pada 2QFY25 susut kepada RM50.44 juta disebabkan penggunaan aset rendah

image is not available

22/08/2025 - 14:34

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Untung bersih Velesto Energy Berhad bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2QFY25) menyusut 20% kepada RM50.44 juta berbanding RM62.81 juta disebabkan penggunaan aset yang lebih rendah.

Kumpulan itu berkata, kadar penggunaan pelantar menurun kepada 57%, berbanding 98% dalam suku yang sama tahun lalu manakala kadar sewaan harian adalah pada kadar AS$123,000 sehari berbanding AS$127,000 pada 1QFY25.

Pendapatan suku tahunan menyusut 49% tahun ke tahun kepada RM199.9 juta berbanding RM393.43 juta disebabkan penyiapan projek pelantar penggerudian dan penyempurnaan bersepadu pada Oktober 2024.

Presiden Velesto, Megat Zariman Abdul Rahim berkata, pihaknya terus mencatatkan prestasi kukuh setiap suku tahun, disokong oleh buku tempahan semasa dan pengurusan kos yang berdisiplin.

"Ini mencerminkan ketahanan portfolio kami serta keupayaan kami untuk memperoleh kerja dalam persekitaran pasaran yang lebih dinamik.

"Kami kekal berfokus kepada usaha memacu prestasi melalui pengoptimuman kos, kecekapan operasi dan kedudukan kewangan yang kukuh, yang menyokong pulangan mampan kepada pemegang saham serta penciptaan nilai jangka panjang," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

Sehingga Julai 2025, tempahan kerja tertunggak yang dimiliki Velesto berjumlah RM1.2 bilion, memastikan syarikat itu kekal sibuk sehingga tahun 2028, sementara kumpulan itu juga sedang membida projek-projek bernilai RM4.3 bilion.

Lima daripada enam pelantar syarikat telah pun mendapat kontrak, manakala Naga 3 kini sedang menjalani pemeriksaan berkala khas iaitu pemeriksaan terperinci yang biasanya dijalankan setiap lima tahun untuk menilai keadaan aset serta menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan.

Bagi separuh pertama tahun kewangan, keuntungan bersih Velesto berjumlah RM103.04 juta, menurun 6% berbanding tempoh sama tahun lalu. Pendapatan pula merosot sebanyak 42% tahun ke tahun kepada RM424.56 juta.- DagangNews.com

standard