
INDUSTRI gaharu berasaskan pokok karas kini semakin mendapat perhatian dunia sebagai satu lagi sektor bioekonomi bernilai tinggi yang berpotensi menjana pendapatan lumayan kepada negara.
Permintaan global terhadap minyak gaharu, kayu gaharu, produk kesihatan, kosmetik dan wangian terus meningkat setiap tahun, khususnya daripada pasaran Timur Tengah, China, Jepun, Korea Selatan dan Eropah. Dalam keadaan ini, Malaysia mempunyai peluang besar untuk muncul sebagai hab industri gaharu dunia melalui pembangunan teknologi, penyelidikan serta penghasilan spesies hibrid baharu yang lebih produktif.
Satu inovasi yang sedang membuka lembaran baharu industri ini ialah pembangunan gaharu hibrid MyKynam oleh syarikat semaian dan perladangan di Melaka.
Selama beberapa dekad, industri gaharu bergantung kepada spesies liar seperti Aquilaria malaccensis yang memerlukan tempoh pertumbuhan 15 hingga 20 tahun sebelum mampu menghasilkan resin berkualiti tinggi. Selain pertumbuhan yang perlahan, bekalan anak benih berkualiti yang terhad, masalah pembajaan serta ketidakseragaman penghasilan resin menyebabkan produktiviti industri sukar dipertingkatkan. Permintaan dunia pula terus meningkat sehingga mewujudkan jurang yang besar antara bekalan dan permintaan.
Melihat cabaran tersebut, pembangunan spesies gaharu hibrid menjadi pendekatan yang semakin penting dalam memastikan kelestarian industri. Melalui teknologi pembiakbakaan moden dan pemilihan induk terbaik, MyKynam berjaya tampil sebagai varieti gaharu hibrid yang mempunyai kadar pertumbuhan lebih pantas, ketahanan lebih baik terhadap tekanan persekitaran, pengurangan kos perladangan serta berpotensi menghasilkan resin berkualiti tinggi dalam tempoh yang lebih singkat berbanding spesies konvensional.
Inovasi MyKynam bukan sekadar menghasilkan pokok baharu, malah membuka dimensi baharu kepada keseluruhan rantaian nilai industri gaharu negara. Dengan kadar pertumbuhan lebih cepat, pekebun mahupun pengusaha ladang dapat mempercepatkan pulangan pelaburan mereka. Ini secara langsung meningkatkan daya tarikan sektor penanaman gaharu kepada pelabur tempatan dan antarabangsa.
Apa yang lebih menarik ialah pembangunan spesies gaharu perlu disokong oleh pendekatan saintifik yang menggabungkan analisis genetik DNA bersama analisis profil kimia minyak gaharu. Pendekatan ini membolehkan setiap varieti hibrid dikenal pasti secara tepat berdasarkan identiti genetiknya selain menentukan potensi penghasilan sebatian aromatik utama yang menjadi penentu nilai komersial minyak gaharu.
Pencirian menggunakan penanda DNA memberi jaminan ketulenan bahan tanaman, mengelakkan kekeliruan spesies serta membolehkan sistem pensijilan varieti dibangunkan pada masa hadapan.
Pada masa sama, analisis menggunakan teknologi Gas Chromatography-Mass Spectrometry (GC-MS) mampu mengenal pasti komponen kimia utama seperti seskuiterpena dan kromon yang menentukan aroma, kualiti dan nilai pasaran minyak gaharu.
Gabungan kedua-dua pendekatan ini akan menghasilkan pangkalan data saintifik yang kukuh. Ini bertujuan menyokong pembangunan standard nasional dan antarabangsa untuk produk gaharu Malaysia. Standard tersebut amat penting bagi meningkatkan keyakinan pengguna sekali gus memudahkan eksport ke pasaran premium dunia.
Malaysia sebenarnya mempunyai semua kelebihan untuk muncul sebagai hab industri gaharu dunia. Negara memiliki iklim tropika yang sesuai, kepakaran penyelidikan di universiti, institusi penyelidikan berpengalaman, jaringan industri yang semakin berkembang serta dasar bioekonomi yang menyokong pembangunan teknologi hijau. Selain Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), sekurang-kurangnya lima universiti tempatan terlibat dalam aktiviti penyelidikan pokok karas serta gaharu.
Apa diperlukan kini ialah penyelarasan strategi nasional yang membangunkan dan menguruskan semua pemain industri di bawah satu ekosistem pembangunan gaharu secara lestari. Kerajaan boleh memainkan peranan besar melalui penyediaan dana penyelidikan, geran inovasi, insentif kepada pengusaha ladang serta pembangunan pusat kecemerlangan gaharu nasional.
Selain itu, kerjasama strategik antara universiti, syarikat swasta dan agensi kerajaan mampu mempercepatkan proses pengkomersialan teknologi baharu. Pembangunan produk inovasi dan penyelidikan gaharu juga mampu menjadikan Malaysia sebagai pusat rujukan dunia dalam bidang genetik, kultur tisu, inokulasi resin, analisis minyak, pembangunan produk hiliran serta latihan industri.
Pendekatan ini akan melahirkan lebih ramai tenaga pakar tempatan yang mampu memimpin industri pada masa hadapan.
Selain aspek penanaman, nilai sebenar industri gaharu terletak pada pembangunan produk hiliran bernilai tinggi. Ini yang diaspirasikan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, supaya Malaysia bergerak kepada penghasilan minyak pati, wangian dan jenama premium sendiri berbanding sekadar mengeksport gaharu sebagai bahan mentah.
Minyak gaharu premium kini digunakan dalam industri minyak wangi mewah, aromaterapi, kosmetik, farmaseutikal, makanan kesihatan serta produk penjagaan diri. Nilai tambah melalui pemprosesan dianggarkan sekurang-kurangnya 300 peratus lebih tinggi berbanding menjual kayu mentah semata-mata. Menurut laporan sebuah akhbar tempatan, minyak gaharu boleh mencapai sehingga RM60,000 seliter. Ertinya, pemain industri perlu memberi fokus kepada pemrosesan untuk memberi nilai tambah serta margin untung yang berlipat ganda.
Pada 2014, sudah ada penerbitan kajian saintifik anti-kanser daripada minyak gaharu. Dalam tradisi orang Arab juga dikatakan mereka memakan setitik minyak gaharu untuk tujuan kesihatan tetapi tiada kajian terperinci. Terkini, laporan Institut Kanser Negara melaporkan terdapat 110 orang rakyat Malaysia disahkan menghidap kanser setiap hari. Justeru, gaharu boleh menjadi satu produk kesihatan yang dibangunkan untuk membantu masyarakat dari aspek kesihatan juga.
MyKynam juga mempunyai potensi besar untuk menjadi jenama gaharu premium Malaysia yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Dengan identiti varieti yang jelas dan disokong bukti saintifik, jenama Malaysia boleh dipasarkan sebagai produk premium yang mempunyai ketulenan, konsistensi serta kebolehkesanan yang tinggi.
Pendigitalan industri turut perlu diberi perhatian. Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), internet kebendaan (IoT), penderiaan jarak jauh menggunakan dron, sistem pemantauan ladang pintar serta analisis data besar boleh meningkatkan kecekapan pengurusan ladang gaharu. Teknologi ini membolehkan pemantauan pertumbuhan pokok dilakukan secara masa nyata, seterusnya membantu meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos operasi.
Dalam konteks bioekonomi negara, pembangunan industri gaharu merupakan satu inisiatif menggerakkan perusahaan sosial (social enterprise) yang mampu menyumbang kepada penciptaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, peningkatan pendapatan pekebun, pembangunan usahawan luar bandar serta peningkatan nilai eksport negara. Industri ini juga selari dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan pembangunan ekonomi berasaskan inovasi, kelestarian dan kesejahteraan rakyat.
Lebih penting lagi, pembangunan gaharu secara ladang dapat mengurangkan tekanan terhadap populasi gaharu liar di hutan sekali gus menyokong usaha pemuliharaan biodiversiti negara. Pendekatan ini memenuhi prinsip pembangunan lestari yang mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan pemeliharaan alam sekitar.
Malaysia tidak seharusnya sekadar menjadi pengeluar bahan mentah. Negara perlu bergerak ke hadapan sebagai peneraju inovasi, pemilik teknologi dan pengeksport produk premium berasaskan gaharu. Inovasi seperti MyKynam membuktikan bahawa penyelidikan tempatan mampu menghasilkan solusi bertaraf antarabangsa apabila disokong oleh kerjasama strategik antara akademia, industri dan kerajaan.
Sekiranya penanaman varieti hibrid MyKynam diteruskan bersama program pensijilan, penyelidikan DNA, profil kimia, pembangunan produk hiliran dan strategi pemasaran global, tidak mustahil Malaysia akan muncul sebagai pusat kecemerlangan gaharu dunia dalam tempoh sedekad akan datang.
Inilah masanya untuk negara memanfaatkan kekuatan penyelidikan, inovasi dan biodiversiti tempatan bagi meletakkan nama Malaysia sebagai hab industri gaharu bertaraf dunia.
Penulis ialah pensyarah dan Ketua Jabatan Agroteknologi di Fakulti Agrosains, Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM).
The post Malaysia menuju hab industri gaharu dunia melalui inovasi karas hibrid appeared first on Utusan Malaysia.

