Malaysia-Mesir perkukuh hubungan, perluas kerjasama ekonomi

LocalBusiness & Finance
10 Oct 2026 • 5:15 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Malaysia-Mesir perkukuh hubungan, perluas kerjasama ekonomi

PETALING JAYA: Hubungan dua hala antara Malaysia dan Mesir dalam pelbagai bidang terus diperkukuh menerusi mesyuarat Suruhanjaya Bersama yang dijadualkan pada suku pertama tahun depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertemuan itu yang dipersetujui oleh menteri luar kedua-dua negara, akan menyediakan platform untuk menterjemahkan hubungan dua hala yang semakin berkembang kepada peluang ekonomi yang lebih luas.

Katanya, Malaysia dan Mesir akan menumpukan usaha untuk memperluas kerjasama perdagangan dan pelaburan, meningkatkan kesalinghubungan penerbangan serta meneroka bidang baharu ekonomi pada mesyuarat tersebut.

Beliau berkata, perdagangan dua hala antara kedua-dua meningkat sebanyak 74.7 peratus pada tahun ini, namun pertumbuhan itu bermula daripada asas yang rendah, sekali gus memberikan ruang yang luas untuk pengembangan selanjutnya.

“Kita mencapai peningkatan luar biasa ini pada tahun ini, (perdagangan) melonjak kepada 74.7 peratus, namun ia bermula daripada asas yang sangat, sangat rendah,” katanya pada sidang media bersama Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, di sini hari ini.

Sidang media itu diadakan bersempena lawatan negara dua hari El-Sisi ke Malaysia.

Mengulas potensi sektor farmaseutikal, Anwar berkata, Malaysia sedang mempertimbangkan negara dengan ekonomi yang sedang pesat berkembang, termasuk anggota BRICS, sebagai sumber bekalan produk farmaseutikal.

Beliau berkata, Mesir merupakan antara negara yang berpotensi memenuhi keperluan bekalan farmaseutikal Malaysia.

Selain kerjasama ekonomi, Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada El-Sisi atas bantuan Mesir mempermudah penyaluran bantuan kemanusiaan Malaysia kepada rakyat Palestin.

Katanya, sokongan itu termasuk membantu membawa mangsa yang cedera dari Gaza ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan perubatan, dengan penyelarasan dilakukan melalui pejabat Presiden Mesir serta risikan ketenteraan negara berkenaan.

Anwar berkata, walaupun sumbangan Malaysia lebih kecil berbanding usaha kemanusiaan Mesir, kerjasama negara itu penting bagi membolehkan bantuan disampaikan kepada rakyat Palestin.

“Anda telah banyak membantu rakyat Palestin, tetapi kami juga berusaha membantu dan kami mampu melakukannya dengan bantuan anda serta pejabat anda,” katanya. – UTUSAN

The post Malaysia-Mesir perkukuh hubungan, perluas kerjasama ekonomi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved