
KUALA LUMPUR – Persidangan M360 ASEAN yang julung kali diadakan menjadi platform penting dalam menghimpunkan kerajaan, pengawal selia dan pemain industri bagi membincangkan hala tuju serta masa depan ekosistem digital di rantau ini.
Penasihat Kanan Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Datuk Zulkarnain Mohd. Yassin berkata, perkembangan teknologi yang pantas memerlukan perbincangan bagi memastikan dasar yang dibangunkan kekal relevan.
“Apabila kita bercakap mengenai inovasi dan pembuatan dasar, orang selalu bercakap tentang regulasi akan menghalang inovasi.
“Di sinilah perbualan antara pembuat dasar, industri dan pelabur menjadi berguna,” katanya ketika ditemui di Grand Hyatt Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Menurut beliau, M360 ASEAN menyediakan ruang untuk semua pihak berkongsi pandangan serta pengalaman dalam menangani cabaran berkaitan teknologi dan dasar digital.
“Sekarang bukan satu pihak sahaja yang membuat perubahan. Kita perlu mengambil kepimpinan tetapi pada masa sama kita perlu bekerjasama. Apa juga kerangka pembangunan yang kita kembangkan perlu mengambil kira kepentingan pengguna,” ujarnya.
Beliau berkata, Malaysia juga berada pada kedudukan strategik untuk menyumbang kepada perbincangan digital ASEAN berdasarkan pengalaman negara dalam pembangunan 5G, konektiviti dan pemerkasaan masyarakat menerusi pelbagai inisiatif digital.
Katanya, hubungan rapat antara pengawal selia di negara ASEAN perlu terus diperkukuh bagi membolehkan pengalaman, kepakaran dan penyelesaian berkaitan dasar digital dikongsi secara lebih meluas.
“Saya rasa negara-negara ASEAN melihat Malaysia sebagai rakan yang dipercayai. Kepercayaan itu kita bina selama bertahun-tahun dan ia memberi kita keupayaan untuk berkongsi pengalaman serta membina kapasiti bersama,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Malaysia pacu agenda digital serantau melalui M360 ASEAN appeared first on Kosmo Online.

