
SEKTOR tenaga di Asia Tenggara sedang mengalami transformasi ketara berikutan usaha kebanyakan negara mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil dan mempercepat penerimagunaan sumber tenaga elektrik yang lebih bersih.
Menurut Laporan Tinjauan Ekonomi 2027,peningkatan permintaan tenaga elektrik serantau didorong oleh kepesatan kecerdasan buatan (AI), pusat data, kenderaan elektrik (EV) serta elektrifikasi industri.
Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) melaporkan permintaan tenaga elektrik di Asia Tenggara meningkat lebih tujuh peratus pada 2024 iaitu hampir dua kali ganda berbanding purata global, dan diunjur berkembang sekitar empat peratus setahun sehingga 2035 daripada 1,300 terawatt-jam (TWh) kepada melebihi 2,000 TWh.
“Peningkatan permintaan ini mewujudkan keperluan terhadap kapasiti penjanaan tambahan serta pelaburan dalam rangkaian penghantaran dan pengagihan tenaga elektrik di seluruh Asia Tenggara.
“ASEAN dianggar memerlukan pelaburan melebihi AS$300 bilion (RM1.26 trilion) untuk pembangunan grid kuasa elektrik antara 2025 dan 2040, melonjak 72 peratus berbanding AS$174 bilion bagi tempoh 2009 hingga 2024,” katanya.
Tambah laporan itu, inisiatif Grid Kuasa ASEAN (APG) menjadi platform penting untuk mengukuhkan kesalinghubungan tenaga elektrik, meningkatkan keselamatan tenaga dan memudahkan perdagangan tenaga elektrik rentas sempadan dalam kalangan negara-negara Anggota ASEAN (AMS).
Perkembangan signifikan dapat dilihat menerusi Projek Integrasi Kuasa Republik Demokratik Rakyat Laos-Thailand-Malaysia-Singapura (LTMS-PIP) yang membolehkan perdagangan tenaga elektrik rentas sempadan.
“Pada 2025, projek LTMS-PIP meningkatkan kapasiti pindahan tenaga elektrik maksimum daripada 100 megawatt (MW) kepada 200 MW bagi penghantaran tenaga dari Laos ke Singapura melalui Thailand dan Malaysia.
“Malaysia memainkan peranan penting dalam proses integrasi ini dengan menyumbang usaha membangunkan mekanisme pembiayaan APG semasa Kepengerusian ASEAN 2025, termasuk pelancaran Inisiatif Pembiayaan Grid Kuasa ASEAN (APGF) di Kuala Lumpur pada Oktober 2025,” tkatanya.
Malaysia mempunyai kelebihan strategik kerana bukan sekadar titik penghubung tetapi juga merentasi dua daripada tiga subsistem utama APG, iaitu Semenanjung Malaysia di subsistem Selatan serta Sabah dan Sarawak di subsistem Timur.
Sebagai negara perkhidmatan laluan dalam perdagangan tenaga elektrik pelbagai hala ASEAN, Malaysia mula memperoleh caj rangkaian atas penggunaan sistem penghantaran berasingan daripada jualan tenaga menerusi LTMS-PIP pada Januari 2026.
Selain itu, potensi kerjasama serantau terus diperluas menerusi pengumuman Projek Integrasi Kuasa Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina (BIMP-PIP) untuk meneroka kesalinghubungan tenaga merentas Borneo.
Kedudukan geografi Malaysia yang unik serta kelebihan sumber kuasa hidro yang besar di Sarawak memberi peluang kepada negara untuk memainkan peranan utama dalam pasaran tenaga elektrik ASEAN.
Bagaimanapun, pembangunan APG masih berhadapan cabaran seperti keperluan penyelarasan kawal selia, teknikal, model pelaburan serta pembiayaan berskala besar yang perlu diimbangi dengan keselamatan tenaga domestik negara. – UTUSAN




