
PETALING JAYA: Insentif cukai sehingga RM5 juta kepada syarikat pembekal automotif tempatan yang memindahkan operasi ke Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjong Malim, Perak dijangka mempercepat pembangunan hab automotif itu sebagai pusat pengeluaran Kenderaan Generasi Baharu dan Kenderaan Cekap Tenaga.
Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Berhad, Tan Sri Syed Faisal Albar berkata, insentif berkenaan dapat mengurangkan kos perpindahan sekali gus menggalakkan lebih banyak syarikat pembekal automotif tempatan beroperasi di Tanjong Malim.
“Insentif yang diumumkan di bawah Belanjawan 2027 merupakan dorongan besar kepada pembangunan AHTV.
“Dengan membantu mengurangkan kos perpindahan, insentif ini akan menggalakkan lebih banyak syarikat pembekal automotif Malaysia membuka operasi di Tanjong Malim, sekali gus mempercepat pertumbuhan ekosistem automotif di AHTV.
“Kehadiran lebih banyak syarikat pembekal akan memperkukuh rantaian bekalan tempatan, menyokong pembangunan mobiliti generasi baharu dan meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan automotif,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, penekanan terhadap teknologi, pembangunan bakat, infrastruktur kenderaan elektrik (EV) dan pengukuhan keupayaan industri turut menyokong aspirasi berkenaan.
“Langkah berkaitan infrastruktur pengecasan EV, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) serta peningkatan produktiviti akan membantu membangunkan ekosistem yang lebih kukuh bagi membolehkan AHTV merealisasikan potensinya sebagai hab automotif serantau,” katanya.
AHTV dibangunkan oleh AHTV Alliance Sdn. Bhd., sebuah usaha sama antara DRB-HICOM dengan Zhejiang Geely Holding Group Co., Ltd., sebagai ekosistem automotif dan mobiliti bersepadu yang merangkumi keseluruhan rantaian nilai industri.
Pembangunan itu merangkumi pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) global berteknologi tinggi, pengeluar peralatan asal automotif serta kelompok pembuatan, selain perkhidmatan sokongan termasuk logistik, latihan dan institusi pembelajaran dalam persekitaran bandar pintar. – UTUSAN
The post Insentif cukai RM5 juta pacu pembangunan hab automotif Tanjong Malim appeared first on Utusan Malaysia.





