Malaysia perkukuh pembiayaan hutan menerusi FCO

LocalEnvironment
26 Nov 2026 • 10:16 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Malaysia perkukuh pembiayaan hutan menerusi FCO

PETALING JAYA – Malaysia memperkukuh usaha pemuliharaan dan pengurusan hutan secara mampan menerusi mekanisme pengkreditan karbon berasaskan pasaran (FCO) yang dijangka membuka peluang pembiayaan baharu daripada sektor awam, swasta dan antarabangsa.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, FCO yang dibangunkan Malaysia Forest Fund (MFF) berperanan mengukur, menilai dan mengiktiraf sumbangan hutan negara dalam menangani perubahan iklim.

Menurutnya, pembangunan FCO juga selari dengan usaha memperkukuh struktur pasaran karbon domestik menerusi Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan (DPKK) serta diiktiraf sebagai sistem pengkreditan karbon nasional bagi sektor perhutanan.

“Ia juga dijangka melengkapkan pasaran karbon pematuhan yang dirancang di bawah Rang Undang-Undang Perubahan Iklim (RUUPIN) dan memudah cara pembiayaan antarabangsa melalui pendekatan kerjasama di bawah Artikel 6.2 bagi pemindahan hasil mitigasi yang diiktiraf antarabangsa (ITMOs),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, FCO merupakan program pengkreditan karbon yang mengiktiraf pengurangan, penyingkiran atau pengelakan pelepasan gas rumah kaca (GHG) hasil pelaksanaan projek karbon berasaskan hutan.

Bagi memastikan integriti kredit karbon, MFF membangunkan empat metodologi pengukuran karbon meliputi Penghutanan, Penghutanan Semula dan Pemulihan (ARR), Penambahbaikan Pengurusan Hutan (IFM), Pengurangan Pelepasan daripada Penyahhutanan dan Degradasi Hutan (REDD) serta Ekosistem Tanah Lembap (WE).

“Pelaksanaan metodologi itu disokong projek rintis di Kelantan, Johor, Sabah dan Negeri Sembilan.

“MFF turut membangunkan dua metodologi tambahan yang memberi tumpuan kepada perhutanan bandar dan perhutanan tani,” ujarnya.

Sementara itu, pegawai yang menjalankan tugas-tugas Ketua Pegawai Eksekutif MFF, Suhaini Haron berkata, program berkenaan bertujuan memastikan potensi karbon hutan dapat diterjemahkan kepada sumber pembiayaan bagi menyokong pemuliharaan, pemulihan dan pengurusan hutan secara mampan.

Menurutnya, kejayaan FCO bukan hanya bergantung kepada pembangunan sistem dan penghasilan kredit karbon, sebaliknya turut dinilai berdasarkan keupayaannya menghasilkan impak sebenar termasuk manfaat ekonomi dan sosial kepada komuniti setempat.

“FCO dan FCC bersifat saling melengkapi dengan pendekatan penyusunan pembiayaan bagi menggerakkan sumber pembiayaan yang berkala dan berstruktur dalam jangka masa panjang.

“FCO turut membuka peluang kepada kerajaan negeri, jabatan perhutanan, pemaju projek, komuniti setempat dan sektor swasta untuk terlibat dalam pembangunan projek karbon hutan, sekali gus merangsang pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan serta memperkukuh ekonomi tempatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

The post Malaysia perkukuh pembiayaan hutan menerusi FCO appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved