Malaysia perlu bersedia hadapi negara menua

LocalPolitics
19 Nov 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Malaysia perlu bersedia hadapi negara menua

PERUBAHAN demografi penduduk menjadi antara cabaran besar yang perlu diberi perhatian oleh Malaysia. Susulan penurunan kadar kesuburan dan peningkatan jangka hayat, negara dijangka mencapai status negara tua menjelang 2030 apabila lebih 15 peratus penduduk berusia 60 tahun ke atas. Perkembangan ini menuntut persediaan rapi supaya warga emas dapat menikmati kehidupan yang selesa, sihat dan bermaruah.

Persediaan tersebut perlu melibatkan pelbagai aspek, khususnya kemudahan awam, perkhidmatan kesihatan dan sokongan sosial. Tanpa perancangan yang teratur, peningkatan jumlah warga emas boleh memberi tekanan kepada sistem kesihatan, ekonomi serta institusi kekeluargaan.

Antara keutamaan ialah menyediakan kemudahan awam yang mesra warga emas. Keupayaan fizikal yang semakin terbatas seiring pertambahan usia menyebabkan golongan ini memerlukan persekitaran yang selamat dan mudah diakses. 

Kemudahan pengangkutan seperti bas, tesen Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT)  dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB)  perlu dilengkapi lantai rendah, lif yang berfungsi serta laluan khas untuk pengguna kerusi roda.

Selain itu, kawasan rekreasi dan laluan pejalan kaki perlu dibina dengan permukaan rata, bebas halangan serta menyediakan tempat berehat yang mencukupi. Reka bentuk rumah juga wajar mengambil kira keperluan warga emas melalui pemasangan pemegang keselamatan dan kemudahan yang mengurangkan risiko terjatuh. 

Persekitaran sedemikian membolehkan mereka bergerak dengan lebih selamat, berdikari dan terus aktif dalam kehidupan seharian.

Pada masa sama, pertambahan penduduk berusia akan meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan. Oleh itu, sistem kesihatan negara perlu memberi perhatian lebih besar kepada penjagaan geriatrik, khususnya dalam menangani penyakit kronik dan masalah kesihatan berkaitan usia seperti demensia, Alzheimer serta penyakit sendi.

Kerajaan dan sektor swasta perlu memperbanyak latihan serta melahirkan lebih ramai doktor pakar geriatrik, jururawat dan ahli terapi yang mempunyai kemahiran khusus. 

Klinik Kesihatan juga perlu diperkasakan melalui pemeriksaan berkala dan pengurusan penyakit yang lebih berkesan. Selain itu, perkhidmatan rawatan di rumah wajar diperluas bagi membantu warga emas yang terlantar atau sukar mendapatkan rawatan di hospital. Usaha ini bukan sahaja meningkatkan kualiti penjagaan, malah dapat mengurangkan kesesakan di hospital.

Aspek kebajikan emosi juga tidak boleh diketepikan. Sebahagian warga emas berhadapan kesunyian, kemurungan dan tekanan selepas kehilangan pasangan, persaraan atau kurang mendapat perhatian keluarga. Keadaan ini boleh menjejaskan kesihatan mental serta kesejahteraan hidup mereka.

Bagi mengatasinya, Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) perlu diperbanyakkan supaya mereka mempunyai ruang untuk bersosial, menyertai aktiviti dan mempelajari kemahiran baharu. Pada masa sama, golongan penjaga yang menguruskan ahli keluarga berusia juga memerlukan sokongan dan bantuan sewajarnya bagi mengelakkan tekanan emosi akibat tanggungjawab penjagaan.

Program yang menghubungkan golongan muda dengan warga emas melalui aktiviti sukarelawan turut perlu diperluas. Interaksi sedemikian dapat memupuk rasa hormat, empati dan kasih sayang antara generasi, selain mengelakkan warga emas daripada tersisih dalam masyarakat.

Persediaan menghadapi negara menua bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama keluarga, sektor swasta dan masyarakat.

Kemudahan mesra usia, penjagaan kesihatan yang mencukupi serta sokongan emosi perlu diperkukuh dari sekarang agar warga emas dapat menjalani kehidupan yang lebih baik dan terus dihargai. –UTUSAN

AMIN ALI
Pusat Pengajian Perakaunan,
Universiti Utara Malaysia (UPM)

The post Malaysia perlu bersedia hadapi negara menua appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved