
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Rakyat Malaysia mungkin perlu bersedia menghadapi kemungkinan kenaikan kos elektrik dalam tempoh terdekat susulan peningkatan harga bahan api di peringkat global.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga (ST) Siti Safinah Salleh, situasi geopolitik yang berterusan di Asia Barat kini memberi tekanan kepada harga bahan api, sekali gus memberi kesan kepada kos penjanaan tenaga elektrik negara.
Walaupun begitu, beliau menjelaskan bahawa sistem tenaga Malaysia masih berada dalam keadaan terkawal. Ini kerana sebahagian besar bekalan gas negara iaitu sekitar 80% adalah daripada sumber domestik, yang sedikit sebanyak membantu mengurangkan kebergantungan kepada harga pasaran global.
Namun, Malaysia masih tidak terlepas daripada tempias kenaikan harga kerana sebahagian kos bahan api ditentukan berdasarkan harga rujukan pasaran (MRP).
Menurutnya lagi harga bahan api tersebut berkait juga dengan harga bahan api pasaran, justeru apabila harga bahan api di pasaran seperti Brent meningkat, ia juga akan memberikan kesan kepada negara kita, lapor Kosmo.
Secara asasnya kenaikan kos tenaga dipengaruhi tiga faktor utama iaitu:
- Harga bahan api di pasaran
- Kos penghantaran melalui perkapalan
- Kos insurans
Memetik Sinar Harian pula, beliau menjelaskan peningkatan kos bahan api dijangka akan mula diterjemahkan ke dalam sistem tenaga melalui mekanisme Pelarasan Automatik Kos Bahan Api (AFA).
“Masyarakat perlu bersedia untuk kenaikan kos walaupun kenaikan itu mungkin tidak terlalu tinggi atau tidak terkesan berbanding dengan beberapa negara lain tetapi masih ada kenaikan kos,” ujarnya.
Mengulas mengenai pelarasan melalui AFA, beliau menjelaskan ianya dilakukan secara bulanan selagi perubahan kos berada dalam ambang 10%.
Sebarang peningkatan melebihi paras itu pula adalah bergantung kepada kelulusan kerajaan.
“Kos itu tetap kos, ia perlu dibayar tetapi bagaimana ia disalurkan bergantung kepada keputusan kerajaan,” jelas beliau.

