Malaysia perlu kekal seimbang dalam isu China-Taiwan

LocalPolitics
22 Aug 2026 • 12:18 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Malaysia perlu kekal seimbang dalam isu China-Taiwan

PETALING JAYA: Malaysia perlu mengekalkan pendirian diplomatik yang seimbang dan tidak dilihat memihak kepada mana-mana kuasa besar dalam konflik China-Taiwan.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu memandang serius kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam wawancara bersama Al Jazeera berkaitan isu China dan Taiwan, khususnya berhubung kemungkinan penggunaan kekuatan ketenteraan dalam menyelesaikan konflik berkenaan.

Beliau berkata, penegasan Perdana Menteri mengenai pendirian Malaysia terhadap dasar Satu China tidak menjadi masalah.

Namun katanya, kenyataan bahawa Taiwan adalah sebahagian daripada China secara muktamad, selain perbandingan situasi berkenaan dengan keadaan di Malaysia sekiranya mana-mana negeri mahu menarik diri daripada Persekutuan telah meletakkan negara ini dalam kedudukan diplomatik yang sukar.

“Pas percaya Malaysia perlu membezakan antara dasar diplomatiknya yang telah mantap dengan pendirian memihak tentang bagaimana konflik China-Taiwan harus diselesaikan.

“Dasar Satu China tidak harus membenarkan tindakan unilateral mana-mana pihak atau menghalang Malaysia daripada menyokong dan mengutamakan dialog damai, persefahaman dua hala serta sikap kekangan dan kawalan diri pihak-pihak terlibat,” katanya dalam kenyataan.

Takiyuddin berkata, apabila Perdana Menteri dilihat menganjurkan kemungkinan penggunaan kekerasan dalam isu berkenaan, keadaan itu secara tidak langsung boleh menyempitkan ruang diplomasi Malaysia.

Menurutnya, keadaan itu turut berpotensi melemahkan pendirian dan kecenderungan ASEAN yang selama ini mengutamakan dasar tidak campur tangan, penyelesaian konflik secara aman serta autonomi strategik negara-negara anggota.

“Pas juga menegaskan Malaysia tidak harus membiarkan ia dilihat memihak kepada mana-mana kuasa besar dalam pertikaian dan konflik yang berpotensi besar menjadi lebih buruk,” katanya.

Beliau berkata, kekuatan Malaysia banyak bergantung kepada keupayaan negara menjalin hubungan konstruktif dengan China, Amerika Syarikat, Taiwan serta rakan kongsi lain dalam pelbagai peringkat dan bidang, di samping mempertahankan kepentingan negara.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, kepimpinan Anwar didakwa gagal mengetengahkan citra kepimpinan yang bijaksana dan berpandangan jauh dalam menangani isu yang mempunyai kesan antarabangsa luas.

Katanya, Perdana Menteri sepatutnya menzahirkan kepercayaan dan harapan positif supaya kedua-dua pihak dapat merapatkan jurang secara aman melalui dialog.

“Pendekatan itu bukan sahaja akan memberi manfaat kepada rakyat masing-masing, tetapi juga membantu mengekalkan kestabilan wilayah dan dunia,” katanya.

Takiyuddin turut membangkitkan kebimbangan berhubung laporan media yang memetik jurucakap kerajaan sebagai berkata bahawa Kabinet tidak membincangkan kenyataan Anwar berkaitan Taiwan dalam mesyuarat Kabinet.

Menurutnya, perkara itu menimbulkan persoalan penting mengenai koordinasi dan tanggungjawab kolektif anggota kerajaan dalam menentukan dasar luar Malaysia.

“Pas turut menegaskan Malaysia tidak harus dipaksa memilih antara Beijing dengan Taipei atau antara Beijing dengan Washington.

“Sebaliknya, tanggungjawab lebih besar kita sebagai sebuah negara yang dihormati ialah mendorong kedua-dua pihak mencari titik pertemuan bersama yang menguntungkan semua pihak,” katanya.

Beliau berkata, ketegangan semasa yang turut dipengaruhi perkembangan politik domestik kedua-dua pihak tidak seharusnya dilihat sebagai satu-satunya trajektori yang membawa kepada konflik muktamad dan tidak boleh diterbalikkan.

Katanya, Malaysia perlu menampilkan kepimpinan bijaksana, mempertahankan komitmen diplomatik serta mengutamakan keamanan dan kestabilan berbanding penjajaran geopolitik jangka pendek.-UTUSAN

The post Malaysia perlu kekal seimbang dalam isu China-Taiwan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved