
KUALA LUMPUR - Malaysia kekal dengan pendirian menyokong dasar Satu China kerana faktor sejarah perlu diambil kira dalam memahami hubungan antara republik terbabit dan Taiwan.
Menegaskan perkara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu berkenaan tidak boleh dilihat secara terpisah daripada latar sejarahnya, walaupun sebahagian rakyat Taiwan menolak pemerintahan China.
“Saya melihat Taiwan sebagai sebahagian daripada China,” katanya dalam wawancara bersama Al Jazeera.
Menurut beliau, perbezaan pandangan mengenai status Taiwan boleh dibincangkan, namun ia perlu difahami dalam kerangka dasar Satu China.
Ketika ditanya sama ada beliau bersimpati dengan rakyat Taiwan yang menolak apa digambarkan sebagai pemerintahan autoritarian Beijing, Perdana Menteri berkata, beliau bersimpati dengan pelbagai isu, tetapi mempunyai pandangan berbeza mengenai persoalan Taiwan.
“Mengiktiraf pemisahan Taiwan daripada China akan membawa maksud menyokong perpecahan sebuah negara yang bersatu,” katanya.
Dalam wawancara itu, Anwar turut ditanya sama ada Malaysia akan mengecam pendirian China yang tidak menolak penggunaan kekerasan sekiranya usaha penyatuan semula Taiwan gagal.
Sebagai perbandingan, Anwar merujuk kepada Malaysia dengan berkata, kerajaan juga akan mempertahankan keutuhan negara sekiranya terdapat mana-mana negeri yang cuba memisahkan diri.
“Mengapa pendirian China berhubung Taiwan mendapat perhatian antarabangsa yang begitu besar, sedangkan isu berkaitan pemisahan wilayah di beberapa negara Eropah, Amerika Syarikat dan Afrika tidak menerima tumpuan pada skala sama?” soalnya.
Kementerian Luar Taiwan bagaimanapun menolak kenyataan Anwar, dengan menuduh beliau memberikan gambaran tidak tepat mengenai Taiwan, selain secara terbuka memberikan justifikasi terhadap pendirian Beijing mengenai penyatuan semula melalui kekerasan.
Taipei menegaskan, Taiwan ialah sebuah negara yang berdaulat dan merdeka serta bukan sebahagian daripada China.
Kementerian itu memberi ingatan, Anwar yang sebelum ini lantang mengenai isu hak asasi manusia, sepatutnya mempertahankan prinsip demokrasi, kebebasan, hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang, selain menghormati kehendak rakyat Taiwan.
Bagaimanapun, isu berkenaan tidak dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil, mengesahkan perkara tersebut ketika sidang media selepas mesyuarat Kabinet.
“Ya, tak dibincangkan,” katanya ketika ditanya sama ada wawancara Anwar bersama Al Jazeera itu dibangkitkan dalam mesyuarat berkenaan.
Sebelum ini, Kementerian Luar Taiwan turut memberi amaran bahawa gambaran Anwar mengenai Taiwan sebagai wilayah China yang mahu mendapatkan kemerdekaan berpotensi menjejaskan keamanan dan kestabilan serantau.
Taipei juga mendakwa, kenyataan berkenaan boleh memberi kesan terhadap keyakinan syarikat dari Taiwan yang sedang mempertimbangkan pelaburan di Malaysia.
Dalam wawancara sama, Perdana Menteru turut menolak naratif mengenai “ancaman China”, yang menurut beliau sebahagiannya didorong kebimbangan negara Barat terhadap pengaruh Beijing di Laut China Selatan.
Beliau mempertahankan dasar Malaysia untuk terus berhubung dan bekerjasama dengan China, termasuk usaha berterusan bagi merundingkan tatakelola (Code of Conduct) di Laut China Selatan.
“Malaysia tetap mendesak supaya China terlibat dalam proses rundingan berkenaan walaupun terdapat tentangan pada peringkat awal,” katanya.
Ditanya mengenai kenyataan Kementerian Luar sebelum ini yang menyifatkan tindakan China sebagai ancaman serius terhadap kedaulatan Malaysia susulan kemasukan pesawat dan kapal tentera China ke wilayah Malaysia, Anwar berkata, Malaysia akan menyuarakan bantahan apabila keadaan memerlukannya.
“China juga akan memberikan respons apabila Malaysia mengemukakan kebimbangan berhubung sesuatu isu,” tegasnya.
Perdana Menteri menerusi wawancara berkenaan turut menolak dakwaan Malaysia keberatan mengambil pendirian lebih tegas terhadap Beijing kerana China merupakan rakan dagang penting negara.
“Saya bersikap sederhana dengan semua jiran saya; dengan China, dengan Amerika Syarikat.
“Tetapi Malaysia tidak akan berdiam diri sekiranya berlaku pertikaian, sebaliknya akan menyatakan pendirian negara melalui kenyataan terbuka atau saluran diplomatik, bergantung kepada keadaan,” katanya. - Getaran, 19 Ogos 2026





