Malaysia perlu pacu inovasi, bangunkan produk getah bernilai tinggi - Noraini

LocalBusiness & Finance
21 Aug 2026 • 9:21 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malaysia perlu pacu inovasi, bangunkan produk getah bernilai tinggi - Noraini Image from: Malaysia perlu pacu inovasi, bangunkan produk getah bernilai tinggi - Noraini johardy21/08/2026 - 09:21 Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menyampaikan ucaptama pada Majlis Makan Malam Kepimpinan dan Jaringan Industri Majlis Getah Malaysia (MRC) di Kuala Lumpur pada 20 Ogos 2026. - Gambar KPK

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Malaysia perlu memacu inovasi dengan membangunkan lebih banyak produk getah khusus dan bernilai tinggi bagi memperkukuh daya saing industri itu di peringkat global, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

 

Beliau berkata, industri getah juga perlu mempercepat penerimagunaan teknologi digital serta melabur dalam pembangunan tenaga kerja berkemahiran bagi memenuhi keperluan industri pada masa hadapan.

 

“Malaysia perlu terus melaksanakan penyesuaian dan penambahbaikan untuk kekal berdaya saing.

 

“Matlamat kita adalah jelas untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pembekal global yang dipercayai bagi produk getah yang inovatif, mampan dan berkualiti tinggi,” katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Majlis Makan Malam Kepimpinan dan Jaringan Industri Majlis Getah Malaysia (MRC) di Kuala Lumpur, malam tadi.


 

KPK


 

Perkukuh rantaian bekalan

Noraini turut menyeru pemain industri supaya memperkukuh rantaian bekalan yang mampan dan berdaya tahan, selain memperluas akses pasaran bagi produk getah Malaysia.

 

Menurutnya, usaha itu sejajar dengan Ekonomi MADANI, Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Dasar AgriKomoditi Negara (DAKN) 2021-2030.

 

“Kita perlu meningkatkan kebolehkesanan, memenuhi piawaian kemampanan dan memperteguh bekalan getah asli tempatan. Langkah ini penting bagi memastikan pengeluar kita mempunyai bekalan bahan mentah yang stabil.

 

“Industri getah perlu berkembang ke pasaran baharu. Menerusi usaha perdagangan dan kerjasama erat dengan agensi serta rakan industri, kita akan berusaha mengatasi halangan perdagangan dan mewujudkan lebih banyak peluang bagi produk getah Malaysia di pasaran sedia ada dan baharu,” katanya.

 

Kerjasama dengan universiti

Noraini berkata, Kementerian Perladangan dan Komoditi akan terus menyediakan dasar dan peraturan yang menyokong pertumbuhan industri, khususnya dalam usaha memperkukuh bekalan getah asli tempatan.

 

“Kementerian akan terus mengekalkan hubungan yang terbuka dan positif dengan industri. Saya yakin MRC akan terus menyokong keperluan industri produk getah Malaysia yang sentiasa berubah,” katanya.

 

Terdahulu, Noraini menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara MRC dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Monash University Malaysia.

 

Beliau turut menyaksikan pertukaran MoU tiga pihak melibatkan MRC, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

 

MoU berkenaan bertujuan mempercepat inovasi, menyokong pengkomersialan teknologi baharu serta membangunkan produk getah bernilai lebih tinggi. - BERNAMA

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved