Kerajaan tumpu pelaburan berkualiti berteknologi tinggi

LocalBusiness & Finance
28 Jul 2026 • 2:44 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kerajaan tumpu pelaburan berkualiti berteknologi tinggi

KUALA LUMPUR: Kerajaan memfokuskan kepada pelaburan berkualiti yang berteknologi tinggi dan berintensifkan inovasi sebagai strategi utama memastikan Malaysia terus menarik pelaburan bernilai tinggi dalam bidang kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, bioteknologi dan pembuatan termaju.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata, strategi itu dilaksanakan menerusi pelbagai pendekatan termasuk penggubalan dasar yang jelas, misi perdagangan dan pelaburan secara bersasar, penawaran insentif berasaskan keberhasilan serta pemerkasaan ekosistem industri tempatan.

Katanya, kerajaan turut memperkukuh ekosistem pelaburan negara melalui pelaksanaan pelbagai dasar nasional dan sektoral bagi memberi keyakinan kepada syarikat global untuk melabur dalam industri berteknologi tinggi.

“Kerajaan terus memperkukuh ekosistem pelaburan berkualiti melalui pelaksanaan dasar-dasar nasional seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

“Selain itu, dasar-dasar sektoral yang khusus seperti Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), Strategi Pelaburan Hijau (GIS), Pelan Hala Tuju Kimia 2030 (CIR) dan Pelan Hala Tuju Industri Besi dan Keluli 2035 (SIR2035) menyokong dasar-dasar nasional tersebut. 

“Dasar-dasar ini memberi keyakinan kepada syarikat global bahawa Malaysia mempunyai hala tuju pembangunan industri yang jelas dan stabil khususnya ke arah peralihan dalam sektor berteknologi,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Susan Chemerai Anding berhubung strategi kerajaan memastikan Malaysia terus menarik pelaburan bernilai tinggi dalam bidang AI, semikonduktor, bioteknologi dan pembuatan termaju berbanding bergantung kepada industri tradisional.

Mengulas lanjut, Tze Tzin berkata, kerajaan turut memberi penekanan kepada aspek pemudahcaraan pelaburan sepanjang proses pelaburan bagi memastikan syarikat teknologi dan industri bertaraf dunia memperoleh sokongan yang diperlukan.

Katanya, usaha itu termasuk menerusi pendigitalan permohonan lesen pengilang, insentif cukai dan geran melalui Portal InvestMalaysia, selain penubuhan Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia (IMFC) serta Pejabat Pelaksanaan Projek dan Fasilitasi (TRACK).

“Kerajaan turut memberi tumpuan kepada aspek fasilitasi pelaburan di sepanjang investor journey, bermula dari fasa pra-pelaburan sehingga pelaksanaan dan pasca-pelaburan bagi memastikan syarikat teknologi dan industri bertaraf dunia mendapat sokongan yang diperlukan.

“Melangkah ke hadapan, kerajaan akan terus memperkukuh daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan bernilai tinggi melalui pelaksanaan dasar yang konsisten, ekosistem industri yang berdaya saing serta pemudahcaraan pelaburan yang cekap. 

“Pendekatan ini diyakini dapat terus menarik syarikat teknologi global untuk melabur, berkembang dan menjadikan Malaysia sebagai hab strategik bagi aktiviti bernilai tinggi di rantau ini,” katanya.-UTUSAN

The post Kerajaan tumpu pelaburan berkualiti berteknologi tinggi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved