amree05/10/2026 - 15:40 Gambar hiasan Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Okt — Malaysia perlu mempercepatkan peralihan daripada sekadar menjadi pengguna teknologi kepada peneraju ekonomi digital dengan menghasilkan rumusan tempatan, mengkomersialkan inovasi serta membangunkan syarikat tempatan yang mampu bersaing di peringkat global.
Naib Presiden Kanan (Hal Ehwal Korporat) Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Ts Fadzli Abdul Wahit berkata, fasa seterusnya transformasi digital negara perlu memberi tumpuan kepada penciptaan nilai lebih tinggi ketika aspek kecerdasan buatan (AI), teknologi awan, data dan platform digital terus mengubah landskap perniagaan serta ekonomi.
Menurutnya, Malaysia sudah menjadi peserta aktif dalam ekonomi digital, namun cabaran seterusnya adalah memperkukuh keupayaan negara untuk menghasilkan penyelesaian sendiri dan inovasi yang boleh dikembangkan ke pasaran antarabangsa.
“Fasa seterusnya tidak boleh hanya mengenai penggunaan lebih banyak teknologi atau menarik lebih banyak infrastruktur. Malaysia perlu terus mencipta penyelesaian sendiri, membina nilai lebih besar dan membangunkan inovasi yang boleh berkembang di peringkat antarabangsa,” katanya.
Fadzli berkata, usaha itu turut memerlukan Malaysia terus menarik pelaburan digital berkualiti yang membawa masuk modal, kepakaran dan teknologi, selain mewujudkan persekitaran yang membolehkan syarikat tempatan berkembang ke luar negara.
Katanya, ekonomi digital yang berjaya bukan sekadar menarik syarikat global ke Malaysia, sebaliknya turut membantu syarikat tempatan berkembang dan bersaing di pasaran antarabangsa.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa ke-2 mengenai Perniagaan Global dan Ekonomi Digital 2026 anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), Malaysia menyasarkan untuk menjadi Negara AI yang inklusif dan mampan menjelang 2030 serta hab serantau bagi teknologi digital dan inovasi, termasuk menerusi pembangunan produk dan perkhidmatan ‘Made by Malaysia’.
Sementara itu, Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia 2030 (MD2030) menetapkan sasaran ekonomi digital menyumbang 30% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030.
Fadzli berkata, pencapaian sasaran itu memerlukan lebih daripada sekadar penggunaan teknologi, dengan syarikat perlu memanfaatkan pendigitalan untuk menghasilkan produk baharu, meneroka pasaran serta mewujudkan sumber pertumbuhan baharu.
"AI, automasi dan analitik lanjutan juga berpotensi meningkatkan produktiviti sektor seperti pembuatan, perkhidmatan kewangan, penjagaan kesihatan dan pertanian, selain membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mencapai pelanggan baharu," katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama lebih kukuh antara universiti dan industri bagi menterjemahkan hasil penyelidikan kepada penyelesaian komersial, perniagaan baharu dan teknologi yang mampu menangani masalah dunia sebenar, sambil menegaskan bakat, penyelidikan, keusahawanan dan kerjasama kekal sebagai asas kepada inovasi mampan ketika AI semakin diterapkan merentasi pelbagai sektor dan profesion. - DagangNews.com






