
Samsung ialah sebuah jenama teknologi yang cukup terkenal dengan penawaran pelbagai jenis peranti, perkakasan dan aksesori pengguna yang merangkumi banyak jenis kegunaan. Selain daripada peranti dan televisyen pintar, mereka juga dikenali untuk penawaran audio mereka, dan kali ini, mereka telah memperkenalkan pembesar suara pintar terbaru mereka, yang dinamakan Samsung Music Studio 7.
| Samsung Music Studio 7 | |
|---|---|
| Jenis | Bookshelf |
| Pemandu | 5 Speaker (3.1.1) |
| Port I/O | 1x HMDI Out eARC 1x Optikal |
| Sokongan Audio | ATMOS Music Dolby ATMOS Dolby 5.1ch Dolby Digital Plus Dolby True HD |
| Codec | MP3,AAC,OGG,FLAC,WAV,ALAC,AIFF |
| Ekosistem Disokong | Samsung SmartThings Samsung Q-Symphony Google Chromecast Apple AirPlay Spotify Connect |
| Sokongan pembantu maya | Tiada |
| Butang Fizikal | Ya |
| Bluetooth | Bluetooth 6.0 |
| Bicu Audio AUX | Tiada |
| NFC | Tiada |
| Harga Jualan | RM 1,999 |
Rekaan Dan Spesifikasi
Pembesar suara Samsung Music Studio 7 tampil dengan rekaan oleh pereka terkemuka Erwan dan Ronan Bouroullec yang terkenal untuk rekaan menggunakan titik noktah sebagai asas seni beliau, Dan perkara ini dapat dilihat melalui rekaan pembesar suara tersebut. Sebuah titik noktah besar dapat diperilhatkan di tengah-tengah satelit pembesar suara ini, dengan keseluruhan pembesar suara lain memperlihatkan rekaan pembesar suara bookshelf yang klasik, dengan sisi dan bucu yang lebih membulat, membolehkannya digunakan juga sebagai hiasan rumah.
Samsung Music Studio 7 hadir dengan rekaan tunggal yang menempatkan sistem audio 3.1.1, yang bermakna bahawa ia hadir dengan tiga set pemandu audio untuk olahan audio biasa, satu pemandu bass dan satu lagi pemandu audio yang dicondongkan ke arah atas untuk pantulan audio yang memberikan pembesar suara ini fungsi “surround sound“.
Pembesar suara ini juga hadir dengan sistem mikrofon yang terbina, dan penggunaannya adalah untuk sokongan kawalan pembantu kecerdasan buatan Alexa dan juga sebagai cara untuk pembesar suara ini mengimbas kedudukan bilik untuk penawaran audio yang terbaik.
Dalam pada itu, pembesar suara ini juga hadir dengan sokongan untuk teknologi audio Dolby Atmos yang menjanjikan pengalaman audio yang cukup baik sekali, tetapi perkara ini hadir dengan kaveatnya tersendiri yang kami akan jelaskan kemudian.

Di bahagian atas pembesar suara ini adalah lima butang fizikal yang boleh digunakan untuk menatal kawalan audio pembesar suara ini. Dua butang untuk menatal tahap kelantangan audio, satu butang yang boleh digunakan untuk pelbagai penggunaan berbeza, satu butang untuk menjedakan mikrofon, dan di bahagian tengah, yang boleh digunakan untuk menjedakan audio, ataupun digunakan sebagai butang Spotify Tap untuk memainkan lagu dari aplikasi Spotify secara automatik.
Di bahagian belakang pembesar suara ini pula adalah palam-palam optikal dan HDMI eArc untuk disambungkan kepada televisyen anda, dan juga palam USB Type-A yang hanya digunakan sekiranya pembesar suara ini perlu diservis. Ya, pembesar suara ini boleh disambungkan ke paparan televisyen melalui sambungan berwayar.

Anda boleh juga membeli sebuah lagi unit Samsung Music Studio 7 dan sambungkannya kepada unit sedia ada secara nirwayar, dan ini akan memberikan anda pengalaman audio Dolby Atmos sebenar yang akan memenuhi ruang bilik dan rumah anda bukan sahaja dengan alunan musik merdu, tetapi juga bunyi dari siri televisyen ataupun filem kegemaran anda.
Aplikasi
Secara teknikalnya, anda boleh menyambungkan peranti-peranti anda ke pembesar suara Samsung Music Studio 7 ini melalui sambungan Bluetooth sahaja, akan tetapi melakukannya sebegini hanya memberi pilihan terhad dari segi kepelbagaian konfigurasi dan pengubahsuaian yang boleh dilakukan.
Anda akan mahu memuat-turun aplikasi Samsung Sound sekiranya anda membeli pembesar suara ini kerana ciri-ciri yang terkandung dalam aplikasi ini akan membolehkan anda menggunakan dan mengawal fungsinya dengan lebih mudah dan baik.





Jika anda menggunakan pembesar suara tersebut untuk kali pertama, aplikasi Samsung Sound boleh menjejak pengaktifannya dengan cepat, dan boleh menyambungkan pembesar suara ke peranti anda dengan cepat dan mudah. Fungsi lain sebagai kemas kini perkakasan, pengubahsuaian EQ dan fungsi juga semuanya boleh dilakukan melalui aplikasi Samsung Sound. Jika anda membeli pembesar suara kedua untuk padanan stereo, aplikasi ini juga membolehkan anda untuk memilih unit manakah yang perlu dijadikan satelit kiri ataupun kanan.
Pengalaman Pengguna
Langkah pemasangan untuk pembesar suara Samsung Music Studio 7 ini pada pendapat saya adalah diantara yang termudah yang pernah saya lakukan untuk mana-mana pembesar suara dengan sokongan sambungan nirwayar setakat ini.
Dengan aplikasi Samsung Sound dimuat-turun, saya hanya perlu menghidupkan pembesar suara dan ia terus disenaraikan untuk disambungkan kepada peranti dengan cepat dan mudah. Seperti yang saya katakan sebelum ini, pelbagai butiran mengenai pembesar suara ini juga boleh dilihat melalui aplikasi tersebut, dan konfigurasi yang boleh ditetapkan juga boleh diakses dengan mudah.

Fungsi Spotify Tap membolehkan anda untuk memainkan lagu secara rawak dari akaun Spotify anda, dan anda boleh menukar lagu yang dimainkan secara rawak dengan menekan butang tersebut sekali lagi. Pembesar suara ini juga menyokong mainan audio lossless atau nirhilang sekiranya anda mempunyai pemain audio yang menyokong perkhidmatan penstriman Tidal, dan sumber audio tersebut disambungkan ke pembesar suara Music Studio 7 melalui sambungan HDMI eArc.
Saya perlu mengatakan bahawa ulasan ini ditulis dengan pengalaman menggunakan satu unit pembesar Samsung Music Station 7 sahaja, jadi ia tidak akan memberi gambaran kualiti audio sebenar khususnya apabila dua pembesar suara digunakan dalam konfigurasi stereo.
Dari segi kualiti audio, saya boleh katakan bahawa kualiti pembesar suara ini, khususnya dengan sistem audio 3.1.1 memperdengarkan kualiti audio yang sangat lantang sekali, walaupun ia hadir dengan saiz yang kecil sahaja. Menstrim audio dari perkhidmatan penstriman Spotify, pada pendapat saya satu unit pembesar suara ini sahaja sudah cukup memadai sebagai sumber audio lagu latar sebagai penyeri suasana di rumah dan juga di pejabat.

Kualiti treble bagi saya adalah cukup baik, tetapi jika saya ada satu saranan untuk menggunakan pembesar suara ini sebagai sumber audio tunggal, anda mungkin mahu cuba untuk mencari sebuah permukaan yang mempunyai dinding ruang terbuka dari semua arah, kecuali untuk bahagian belakang.
Pada hemat saya, ini adalah untuk membolehkan audio dipancarkan dengan jauh, tetapi membolehkan pendengar untuk mendengar sedikit dentuman bass untuk kualiti audio yang menyeluruh. Kualiti audio treble pembesar suara ini pada pendapat saya adalah baik, akan tetapi sekiranya anda mendengar lagu-lagu vokal dengan permainan instrumen ataupun bunyi yang banyak di latar belakang, ia boleh jadi agak tenggelam.
Pembesar suara ini juga boleh disambungkan ke televisyen-televisyen pintar dengan sokongan teknologi audio Dolby Atmos melalui HDMI eARC, dan jika anda menggunakan televisyen pintar Samsung, ciri seperti Samsung Q-Symphony boleh digunakan secara automatik untuk mendapatkan pengalaman audio yang terbaik untuk tontonan anda.

Dan oleh kerana ini saya akan mengatakan ia adalah sedikit merugikan bahawa hanya satu unit yang dihantar kepada kami untuk diulas. Sekiranya saya dapat menguji dua buah unit dalam mod stereo, khususnya dengan televisyen Samsung yang kami ada di makmal ujian, saya pasti bahawa Samsung Music Studio 7 boleh menjadi salah satu pilihan pembesar suara yang sangat baik untuk pengalaman tontonan sinema di rumah.
Ada Apa Dalam Kotak
Ini adalah apa yang ditawarkan dalam sebuah kotak Samsung Music Studio 7 apabila anda membelinya:
- 1x Samsung Music Studio 7
- 1x kabel kuasa
- 1x panduan manual
Penutup
Jujur saya katakan bahawa saya tidak tahu bagaimana mahu mengakhiri ulasan pembesar suara Samsung Music Studio 7 ini. Pada tanda harga RM1999 ia adalah agak sukar untuk saya mengesyorkan produk ini kepada anda, kerana ada banyak pembesar suara Bluetooth di luar sana yang pada pendapat saya boleh juga memberikan kualiti audio yang baik pada tanda harga yang lebih rendah.

Walaupun begitu, jika anda sudahpun berada dalam ekosistem perkakasan elektrik dan elektronik Samsung, konfigurasi dua pembesar suara ini sebagai pelengkap kepada televisyen pintar bersaiz besar mungkin adalah satu pilihan yang baik sekiranya anda masih belum membeli sebuah pembesar suara untuk menemani televisyen tersebut
Pro:
- Rekaan padat dan cantik oleh adik-beradik Bouroullec
- Aplikasi Samsung Sound mudah digunakan dan merumahkan semua fungsi-fungsi penting
- Kualiti audio yang baik walaupun digunakan sebagai pembesar suara tunggal
- Kepelbagaian sokongan sambungan berwayar dan nirwayar
- Boleh dipadankan dengan sebuah lagi unit pembesar suara untuk pengalaman audio stereo
Kontra:
- Memerlukan penggunaan pembesar suara kedua untuk mendapatkan pengalaman audio yang terbaik






