
KUALA LUMPUR: Malaysia memerlukan Konsensus Nasional Baharu sebagai gagasan menyatukan rakyat yang mempunyai pelbagai latar belakang, wilayah dan pendirian politik berbeza.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, semangat penyatuan yang ditunjukkan Rasulullah SAW dalam membina masyarakat dan peradaban wajar dijadikan pedoman dalam menghadapi cabaran negara ketika ini.
“Maulidur Rasul ini bukan sekadar sambutan tetapi ia adalah ruang untuk kita menelusuri ibrah dengan mengambil pedoman perjuangan suci Rasulullah dalam menegakkan syiar Islam dan bagaimana masyarakat serta peradaban bangsa itu dibina.
“Baginda mengubah perpecahan kepada persaudaraan, permusuhan digantikan dengan persefahaman dan masyarakat jahiliah diubah kepada sebuah ummah yang dipandu oleh iman, nilai serta tujuan yang jelas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hamzah berkata, pengalaman Rasulullah SAW menyatukan masyarakat berbeza latar belakang membuktikan perbezaan tidak seharusnya menjadi alasan untuk rakyat berpecah.
“Inilah ibrah besar yang sangat relevan untuk Malaysia. Kepelbagaian adalah kekuatan kita dan semua pihak mesti mencari titik persamaan demi masa depan bersama. Perbezaan bukan alasan untuk berpecah.
“Seperti mana ibrah Rasulullah yang berjaya menyatukan ummah melalui iman, nilai serta keyakinan bersama, Malaysia juga memerlukan Konsensus Nasional Baharu yang menyatukan kita atas Matlamat Bersama, Kemakmuran Bersama dan Tadbir Urus Berperikemanusiaan,” katanya.
Menurutnya, pendekatan penyatuan itu perlu merangkumi usaha menghubungkan rakyat yang berbeza latar belakang selain merapatkan jurang antara wilayah serta kekuatan politik.
“Kita perlu bergerak ke hadapan dengan pemikiran serta nurani yang matang melalui jambatan penyatuan.
“Jambatan yang menghubungkan rakyat berbeza latar belakang, yang menghubungkan antara wilayah dan yang menyatukan kekuatan politik yang selama ini lebih dipisahkan oleh perbezaan,” katanya.
Beliau berharap penghayatan terhadap ibrah perjuangan Rasulullah SAW dapat diterjemahkan dalam kehidupan bernegara bagi membina Malaysia yang lebih makmur, bermaruah dan dihormati.
“Insya-Allah jika ibrah ini benar-benar ditelusuri dan diteladani, masa depan negara akan lebih makmur, bermaruah dan dihormati,” katanya. – UTUSAN
The post Malaysia perlukan Konsensus Nasional Baharu satukan rakyat appeared first on Utusan Malaysia.



