
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti cadangan menganjurkan semula perlumbaan Formula 1 (F1) di Malaysia secara berkala, termasuk kemungkinan mengadakan perlumbaan itu setiap beberapa tahun menerusi kerjasama dengan negara lain.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, perkara itu masih pada peringkat awal perbincangan susulan pertemuan Perdana Menteri dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) F1 dan pihak pengurusan F1.
Beliau berkata, cadangan berkenaan memerlukan penelitian menyeluruh, khususnya dari segi kebolehlaksanaan, kos penganjuran serta pulangan pelaburan kepada negara.
“Memang ada perbincangan ke arah itu dan kita perlu melihat bahawa penganjuran F1 ini bukanlah sesuatu yang murah ataupun kosnya kecil, tetapi ia melibatkan kos yang agak besar.
“Dan kita perlu lihat adakah jika setiap tahun kita laksanakan F1 ini pulangan yang sama akan kita dapatkan dan adakah kita sudah bersedia dengan pelbagai infrastruktur yang telah pun dibina dan sebagainya?.
“Dan ada perbincangan awal antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama dengan CEO F1 dan juga F1 Management berkaitan dengan perkara ini. Dan ada juga cadangan untuk kita melaksanakan dalam tempoh beberapa tahun sekali dengan kerjasama oleh mana-mana negara yang akan kita deal dan sebagainya.
“Jadi itu masih lagi dalam peringkat yang awal untuk kita menilai kadar kebolehlaksanaan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Syahredzan Johan (PH-Bangi) mengenai kemungkinan Malaysia menjadi tuan rumah perlumbaan F1 semula, termasuk faktor yang dipertimbangkan kerajaan serta kos tahunan yang perlu ditanggung bagi menganjurkan perlumbaan berkenaan.
Mohammed Taufiq berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut diberikan mandat untuk menganggotai Jawatankuasa Penilaian F1 yang melibatkan semua kementerian serta Ketua Setiausaha Negara (KSN).
Katanya, jawatankuasa itu akan menilai kos penganjuran dan pulangan pelaburan atau pulangan pelaburan (ROI) sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Kita nak pastikan penganjuran ini tidak hanya semata-mata di bawah KBS melalui Litar Antarabangsa Sepang (SIC), tetapi bersifat rentas kementerian kerana manfaat ekonominya bukan hanya dirasai rakyat, malah melibatkan kementerian lain dan negara secara keseluruhan.
“Penilaian dari segi kesediaan dan sebagainya sedang dilaksanakan. Menjelang November ini, kita akan mengeluarkan laporan untuk dibawa kepada Jemaah Menteri sebelum keputusan sama ada membawa semula F1 ke negara kita dibuat,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan juga perlu menilai sama ada penganjuran F1 mampu memberikan pulangan ekonomi yang setimpal dengan kos yang ditanggung.
Katanya, unjuran pulangan ekonomi bagi penganjuran terdahulu pada 2 hingga 4 Oktober lalu dianggarkan sebanyak RM950 juta, namun perkara itu perlu dinilai semula bagi penganjuran pada masa hadapan.
Beliau turut membandingkan penjualan tiket pada 2017 yang hanya sekitar 30,000 tiket berbanding penganjuran terbaharu yang mencatatkan jualan sehingga 100,000 tiket.
“Kita perlu melihat sama ada jika F1 dianjurkan setiap tahun, pulangan yang sama akan diperoleh dan sama ada kita bersedia dari segi infrastruktur yang telah dibina,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan sebarang keputusan berhubung penganjuran semula F1 perlu mengambil kira kepentingan pembangunan sukan negara, termasuk memastikan peruntukan bagi pembangunan atlet dan sukan lain tidak terjejas. – UTUSAN
The post Malaysia pertimbang anjur F1 secara berkala, kerjasama negara lain appeared first on Utusan Malaysia.






